Terpalit isu keganasan domestik, Man United suruh Antony ambil cuti rehat


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Antony terpalit dalam isu keganasan domestik melibatkan beberapa wanita. — Agensi

KRISIS yang melanda pasukan English Premier League (EPL), Manchester United memasuki episod baharu. Apa yang malang mengenai kelab ini adalah masalah yang melanda mereka berlaku serentak di dalam dan luar padang.

Di padang, United sudah tewas dua kali dalam empat aksi pertama EPL dan rekod itu boleh disambung lagi jika mereka tidak berhati-hati sewaktu melayan kunjungan Brighton & Hove Albion apabila liga bersambung.

Di luar padang pula, terdapat pelbagai isu melibatkan kelab ini seperti salah faham antara pengurus Erik ten Hag dengan Jadon Sancho yang menyebabkan pemain tersebut tidak disenaraikan dalam skuad bertemu Arsenal. Lebih perit, Sancho berasakan dirinya dijadikan sebagai kambing hitam atas kegagalan pasukan.

Kini, satu lagi isu melanda melibatkan pemain mereka iaitu Antony. Bintang Brazil itu terpalit dengan isu keganasan domestik melibatkan bekas teman wanitanya.

Bekas teman wanita Antony, Gabriela Cavalin tampil dalam saluran televisyen Brazil dan mendedahkan segala perbuatan pemain itu. Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita bernama Rayssa de Freitas turut mengaku pernah menjadi mangsa pemain sayap itu.

Antony kemudiannya tampil di stesen televisyen Brazil dan menafikan sekeras-kerasnya berkenaan perkara tersebut. Namun kini, siasatan masih lagi dijalankan dan United turut mengambil tindakan.

United mengambil tindakan dengan menangguhkan kepulangan Antony ke kelab sehingga satu tarikh baharu akan dilaporkan.

Walaupun tidak perlu pulang ke England, tetapi Antony akan mendapat gaji penuh seperti biasa cuma dinafikan peluang untuk beraksi.

"Pemain yang tidak terlibat dengan aksi pasukan kebangsaan akan kembali berlatih pada Isnin. Bagaimanapun, Antony bersetuju untuk menangguhkan kepulangannya sehingga diberitahu untuk menyelesaikan tuduhan yang disabitkan kepadanya.

"Sebagai kelab yang mengeji perbuatan ganas dan dera. Kami menyedari keperluan untuk menjaga keselamatan semua yang terlibat, serta kesan pertuduhan ini terhadap mangsa," kata United dalam kenyataan mereka.

Sebagai rekod, nama Antony turut disisihkan oleh skuad kebangsaan Brazil untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru. — Agensi