Ikut kejayaan legenda Sepanyol, 3 bekas gelandang lokal kini berjaya sebagai jurulatih


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Antara gambar semasa Kim Swee (kiri), Cheng Hoe (tengah) dan Nafuzi (kanan) ketika bergelar pemain bola sepak.

LAMBAKAN kehadiran legenda Sepanyol menjadi ketua jurulatih di Eropah wajar menjadi contoh buat bekas pemain kebangsaan yang kini sedang menjawat jawatan itu.

Antara legenda Sepanyol yang kini dengan jayanya menjadi pengendali pasukan ialah Pep Guardiola, Mikel Arteta, Xavi Hernandez, Xabi Alonso dan Luis Enrique.

Mikel Arteta

Arteta antara legenda Sepanyol yang sedang meningkat naik bersama Arsenal.

Namun jika melihat kesemua legenda ini, posisi semasa mereka bergelar bintang dunia ialah ‘midfielder’ , jadi adakah ia satu kebetulan bahawa pemain tengah boleh menjadi jurulatih terbaik?

Bukan sahaja di Sepanyol, malah dalam negara kita juga mempunyai ketua jurulatih tempatan yang dahulunya beraksi di posisi tengah dan kini cemerlang mengendalikan pasukan masing-masing.

Majoriti senaraikan tiga pengendali tempatan yang beraksi di posisi tengah berjaya sebagai ketua jurulatih dalam Liga Malaysia musim ini:

Tan Cheng Hoe

Cheng Hoe kini mengendalikan pasukan Selangor.

1. Tan Cheng Hoe

Memulakan tugas ketua jurulatihnya bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2014, Tan Cheng Hoe berjaya memberikan nafas baharu buat pasukan gergasi utara tanah air itu.

Pengendali berusia 55 tahun itu berjaya membantu Sang Kenari kembali ke Liga Super pada 2015 dan dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan Liga-M di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016.

Ia selepas kejayaannya membawa KDA FC menjuarai Piala Malaysia 2016 serta menamatkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super musim itu.

Tidak lama kemudian, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyunting Cheng Hoe untuk menjadi penolong jurulatih kepada Nelo Vingada.

Selepas pemecatan Vingada, Cheng Hoe dinaikkan pangkat sebagai pengendali Harimau Malaya sekali gus mencipata pelbagai pengalaman manis bersama skuad kebangsaan sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan susulan prestasi hambar di kejohanan Piala AFF pada hujung 2021.

Kini, Cheng Hoe berada dalam misi penting untuk membawa Selangor layak ke pentas Asia selepas kali terakhir menyertai Piala AFC pada 2016.

KUALA LUMPUR 01 SEPTEMBER 2016. Datuk Ong Kim Swee ketika mengendalikan latihan Skuad Harimau Malaysia menjelang perlawanan persahabatan klas A menentang Indonesia pada 6hb September ini. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.

Kim Swee mempunyai sejarah jurulatih paling lama berkhidmat dengan FAM.

2. Datuk Ong Kim Swee

Pernah mencipta pelbagai kejayaan sebagai pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dalam misi untuk membawa Sabah FC melangkah ke pentas akhir Piala AFC 2023 yang akan membuka tirainya pada Khamis.

Kim Swee julung kalinya membawa Sabah ke pentas Asia sejak penswastaan kelab itu pada 2020, namun Sabah FA pernah menyertai Asian Cup Winners' Cup pada musim 1995-1996, sebelum saingan itu dimansuhkan pada 2002.

Ketika itu, Kim Swee merupakan pemain Sabah.

Mempunyai sejarah jurulatih paling lama berkhidmat dengan skuad kebangsaan, Kim Swee pernah menjawat tiga jawatan bersama FAM iaitu ketua jurulatih Harimau Muda A, Skuad B23 dan pasukan utama.

Selain itu, pengendali berusia 52 tahun itu pernah dilantik menjadi pengarah teknikal FAM pada 2021 sebelum kembali ke dunia kejurulatihan bersama Sabah FC.

Kim Swee merekodkan pelbagai kejayaan manis bersama skuad B23 dengan menewaskan beberapa pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan dan Arab Saudi.

Bukan itu sahaja, Kim Swee berjaya membawa naik ranking skuad kebangsaan sebanyak 11 anak tangga daripada kedudukan 169 dunia sehingga 158 dunia sebelum Nelo Viganda mengambil alih Harimau Malaya pada 2017.

Nafuzi Zain

Nafuzi dikenali dengan taktikal 'Nafuzi Ball' yang diciptanya.

3. Nafuzi Zain

Dengan perletakan jawatan E.Elavarasan sebagai pengendali Harimau Muda pada Isnin, ramai bercita-cita menyaksikan kredibiliti ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain melonjak bersama skuad kebangsaan.

Selepas memulakan kariernya sebagai pembantu jurulatih Kelantan FA, pengendali muda itu dibawa ke sebuah lagi kelab Pantai Timur, Terengganu FC untuk meningkatkan kebolehannya.

Bersama skuad Sang Penyu, jurulatih berusia 44 tahun terbabit berpeluang menimba ilmu di samping pengendali terkenal tanah air, Irfan Bakti Abu Salim.

Namun, selepas jurulatih senior berkenaan digugurkan, Nafuzi diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan kelab untuk dinamakan sebagai pengendali Terengganu FC.

Ketika itu, namanya mula meniti bibir penyokong bola sepak tanah air dengan ramai melihatnya sebagai antara jurulatih tempatan terbaik.

Malah, terdapat juga ura-ura yang mengatakan Nafuzi Zain akan berada bersama skuad kebangsaan ketika dia berdepan konflik kontrak dengan pasukannya itu.

Bagaimanapun, hasrat berkenaan tidak tercapai apabila jurulatih kelahiran Kelantan berkenaan memilih untuk mengendalikan skuad Sang Kenari musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram