Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul — TMJ


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Sikap keterbukaan TMJ mengenai bola sepak negara sememangnya tidak boleh dipandang rendah. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENYINGKIRAN Selangor FC daripada saingan Piala Malaysia di tangan Terengganu FC meraih perhatian ramai apabila kelab itu sekali lagi terpaksa menamatkan musim dengan tangan kosong.

Meskipun berjaya mengikat skuad Sang Penyu di laman sendiri, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe tersebut terpaksa akur setelah tewas secara agregat 1-3.

Kegagalan itu sudah tentu menjadi bahan bualan ramai apabila mereka berasakan skuad Gergasi Merah mempunyai peluang tersendiri untuk melangkah ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang beraksi di hadapan kira-kira 10,000 penyokong sendiri turut gagal memanfaatkan kelebihan terbabit.

Jadi, tidak hairanlah apabila ruangan komen di media sosial kini dibanjiri dengan perbincangan penyokong bola sepak tanah air daripada pelbagai pihak.

WhatsApp Image 2023-09-25 at 10.26.03

Tangkap layar daripada hantaran InstaStory TMJ pada Isnin.

Antara yang tidak mahu ketinggalan berkata mengenainya ialah pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris menerusi beberapa hantaran di InstaStory peribadinya.

"RM45 juta duit kerajaan setiap tahun. Lapan tahun tiada apa-apa dan hanya scam penyokong sendiri. Lapan tahun hina pengurusan lama, tapi hanya claim kejayaan mereka.

"Lapan tahun mendabik dada, lapan tahun cepat berpuas hati. Lapan tahun baling batu sembunyi tangan, lapan tahun reka keghairahan sendiri dan apabila gagal, berpura-pura jadi mangsa dibuat orang. Jikalau kepala pun tak betul, ekor pun tak betul," katanya.

Sebelum ini, TMJ beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengenai Selangor FC, baik menerusi hantaran di InstaStory mahupun di beberapa platform media sosial lain.

Setiap kali perkara berkenaan tercetus, ia sudah tentu akan mencetuskan bahan perbualan hangat dengan peminat bola sepak tanah air tidak mahu tertinggal daripada memberi pandangan masing-masing.

Tidak cukup dengan itu, TMJ turut mengkritik badan pengurusan skuad Gergasi Merah yang dikatakan tidak mempunyai ilmu mencukupi untuk menguruskan badan bola sepak.

"Yang membuat keputusan dan beli pemain pihak pengurusan. Jadi, buat apa nak salahkan jurulatih? Cuba pakai otak. Lebih teruk lagi apabila ada pemilik tak tahu pasal bola sepak," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram