'Talak 3', bekas pengadil Fifa beri komen mengusik terhadap aksi Yazan


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Tangkap layar Yazan menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol.

AKSI timbal balik perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Selangor FC menentang Terengganu FC (TFC) dicemari dengan insiden kontroversi yang membabitkan pertahanan import Gergasi Merah, Yazan Al Arab.

Tonggak kelahiran Jordan itu dilihat dengan sengaja menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir, yang mana sebelum itu Yazan turut dilayangkan kad merah sebaik wisel penamat dibunyikan.

Tindakan melulu bek tengah berusia 27 tahun itu difahamkan berlaku susulan ketidakpuashatiannya terhadap mutu pengadilan yang dianggap berat sebelah terhadap Gergasi Merah.

Rentetan tindakan agresif dari Yazan itu, ramai penyokong tertanya-tanya jenis hukuman yang bakal ditanggung bek tengah tersebut dan rata-ratanya berharap pertahanan Gergasi Merah tersebut menerima hukuman setimpal.

Insiden tersebut mendapat reaksi daripada bekas pengadil Fifa, Subkhiddin Mohd Salleh yang tampil mengusik Yazan mengenai hukuman yang bakal diterima oleh pemain bertubuh sasa itu.

WhatsApp Image 2023-09-25 at 09.21.24

Tangkap layar komen dari Subkhiddin.

"Hantar dia elok-elok. Balik ke rumah mak bapak dia.. 'Talak 3’, " kata Subkhiddin ketika membalas pertanyaan seorang penyokong di laman platform X (dulu dikenali sebagai Twitter).

Untuk rekod, kejadian panas melibatkan pemain menyentuh pengadil itu bukan kali pertama berlaku memandangkan sebelum juga pernah berlaku sama membabitkan pemain lain di Liga Malaysia.

Seperti kes membabitkan Natxo pada Liga Super 2021, pemain itu bertindak menyerbu dan menolak Noor Azriel selepas tamat perlawanan antara JDT dan Perak.

Susulan daripada insiden yang berlaku pada 21 Mac 2021, pemain berdarah campuran itu dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Natxo melakukan kesalahan dengan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat kesukanan.

Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu menyaksikan Selangor seri 1-1 namun tetap gagal ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas tumpas secara agregat 3-1 kepada TFC pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram