PERBUATAN khianat kepada pengadil ketika perlawanan timbal balik Piała Malaysia di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor antara Gergasi Merah menentang Terengganu FC (TFC) tidak hanya berlaku dalam stadium, namun juga terjadi di luar perkarangan.
Dałam perlawanan yang menyaksikan naib juara Piala Malaysia musim lepas, Selangor FC tersingkir daripada saingan kejuaraan berprestij itu apabila tumpas secara agregat 3-1 kepada TFC tersebut, berlaku insiden kontroversi membabitkan pengadil perlawanan.
Pertahanan import Jordan, Yazan Al Arab dilayangkan kad merah selepas wisel penamat dibunyi apabila mempertikaikan keputusan pengadil, Mohd. Hasrol Mohd. Amir.
Rentetan ketidakpuastian terhadap keputusan pengadil tersebut, bek tengah berusia 27 tahun itu juga ‘naik gila’ menendang Mohd Hasrol, selain beberapa pemain cuba untuk menenangkan dirinya bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.
Selepas insiden tersebut dan beberapa kejadian baling botol di stadium, kemarahan Gergasi Merah berlarutan apabila ada dalam kalangan penyokong memecahkan kereta seorang pengadil perlawanan.
Menerusi sebuah gambar yang tular di media sosial, kelihatan lubang besar di kereta sedan berwarna hitam berjenama Toyota itu yang mana didakwa hasil perbuatan khianat oleh penyokong.
Walau apapun kejadian yang berlaku, slot separuh akhir Piala Malaysia juga kekal menjadi milik Terengganu dan skuad Sang Penyu bakal membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Terengganu berhasil mencetak gol pembukaan terlebih dahulu apabila penyerang import, Ivan Mamut berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Nor Hakim Hassan dijatuhkan oleh pertahanan, Safuwan Baharudin penalti pada minit ke-24.
Manakala, gol Gergasi Merah pula dihadiahkan menerusi jaringan Safuwan pada minit ke-69 namun impian buat Selangor ke separuh akhir punah selepas wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram