PERLAWANAN Eredivisie atau Liga Belanda di gelanggang Ajax menentang juara bertahan, Feyenoord terpaksa dihentikan selepas insiden rusuhan tercetus di Arena Johan Cruyff, Amsterdam, Belanda pada Ahad.
Peminat yang tidak berpuas hati dilihat membaling suar ke atas padang semasa perlawanan, manakala unit [polis berkuda polis dikerah untuk menyuraikan penyokong di luar stadium selepas perlawanan ditamatkan.
Polis juga dilihat menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di luar Arena Johan Cruyff selepas penyokong Ajax bertindak merosakkan stadium mereka sendiri kerana kekecewaan.
Penyokong turut bertindak liar memecahkan tingkap dan menendang pintu stadium Arena Johan Cruyff sehingga menyebabkan kerosakan teruk.
Derby antara dua seteru itu dihentikan ketika 11 minit perlawanan pada separuh masa kedua di Arena Johan Cruyff pada Ahad dengan pelawat mendahului permainan 3-0.
Ajax yang bermula buruk musim ini dengan hanya satu kemenangan, menduduki tangga ke-13 dalam carta liga selepas terlepas gelaran liga kepada Feyenoord musim lalu.
Pasukan kendalian Maurice Stejin itu melepaskan ketiga-tiga gol pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati penyokong.
Apabila suar dilemparkan ke atas padang buat kali kedua selepas rehat, pengadil menghentikan pertandingan dan mengarahkan pemain untuk keluar daripada padang.
Peminat tidak mengendahkan apabila kelab itu memaparkan mesej ‘dilarang menyalakan suar’ di skrin besar di Arena Johan Cruyff sambil mereka terus menunjukkan kekecewaan mereka.
Ia adalah prestasi buruk Ajax dengan kelab itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara hanya empat tahun lalu dan memenangi tiga daripada empat gelaran Eredivisie terakhir.
Tetapi musim ini hanya sekali mereka dapat memungut tiga mata dalam empat perlawanan iaitu ketika aksi pertama Ajax menewaskan Heracles.
"De Klassieker (pertembungan seteru) telah digantung selepas berlaku rusuhan penyokong dengan membaling suar berulang kali di atas padang.
"Maklumat lanjut tentang perlawanan ini akan menyusul kemudian,” kata pengelola Liga Eredivisie dalam satu kenyataan.
Beberapa penyokong cuba memecah masuk semula ke dalam stadium selepas perlawanan ditangguhkan, menyebabkan kerosakan bertambah teruk stadium mereka sendiri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram