JDT mendonia, ucapan David Beckham jadi inspirasi TMJ


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Pemain dan pegawai pasukan JDT meraikan kemenangan mereka menjulang trofi Liga Super 2017 di Stadium Larkin, Johor Bahru. — Agensi

ENAM tahun lalu, legenda bola sepak England dan Manchester United, David Beckham pernah mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) ketika memenangi kejuaraan Liga Super.

Ucapan tersebut dibuat menerusi Instagram miliknya yang turut memuat naik gambar bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika itu.

Menerusi perkongsian Instagram tersebut, Beckham menulis kapsyen meluahkan perasaan gembira kerana dapat bertemu dan makan malam bersama pemilik JDT itu.

Beckham

Pemilik JDT, TMJ bersama David Beckham. — Instagram/davidbeckham

Rata-rata penyokong tanah air mengucapkan tahniah kepada TMJ di atas hasil penat lelahnya hingga JDT dikenali di mata dunia.

Selain itu, kejayaan JDT merangkul trofi Liga Super empat musim berturut-turut mendapat perhatian dunia apabila ucapan tahniah turut tertera pada papan LED di Stadium Stamford Bridge, London ketika pertemuan Chelsea dan Notthingham Forest pada waktu itu.

Walaupun rata-rata peminat JDT bangga dengan sejarah yang tercipta itu, ada juga kata-kata negatif terhadap pengiktirafan pihak luar tersebut yang mengatakan bahawa TMJ membayar iklan tersebut.

Menjawab kepada kritikan terhadap ucapan tahniah di papan LED tersebut, TMJ tampil dengan kenyataan balas terhadap pihak-pihak berkenaan dengan mendedahkan bahawa pengalaman yang dilalui selama ini tanpa mengeluarkan duit.

TMJ turut mendedahkan bahawa datuk moyangnya, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggong Ibrahim mendidik anak dan cucu cicit tentang perhubungan diplomasi.

Dengan adanya perhubungan yang baik melibatkan dua pihak antara ketua pemimpin atau syarikat, pastinya boleh mencapai pelbagai perkara tanpa melibatkan wang ringgit.

Tunku Ismail dilaporkan berkata, baginda tidak membayar satu sen bagi membolehkan nama JDT tertera di Stadium Stamford Bridge.

TMJ turut dilaporkan berkata, sahabatnya, Pairoj Piempongsant, daripada syarikat Carabao turut mengucapkan tahniah kepadanya dan JDT dengan meletakkan ucapan tersebut di papan LED Stadium Stamford Bridge. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram