Mungkin bakal terkubur, kelab Liga Super bergelut isu pengurus bakal disenarai hitam FIFA


  • Podium
  • Ahad, 24 Sep 2023

Sebahagian aksi barisan pemain Kelantan FC ketika dalam sesi latihan. — Instagram/TRWKelantanfc

BARU-BARU ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan satu hantaran di laman Facebook, Malayantigerfans mengenai salah satu pasukan Liga Super menerima surat sekatan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Difahamkan, hantaran tersebut ditujukan kepada salah sebuah pasukan Liga Super yang pastinya bergelut dengan masalah prestasi dan isu dalaman.

"Sebuah pasukan Liga Super terima surat kena ban (dikenakan sekatan) sebarang pendaftaran oleh FIFA," katanya dalam hantaran di Facebook.

Berikutan hantaran itu, belum ada pengesahan rasmi yang dikeluarkan di peringkat FIFA mengenai perkara tersebut sama ada kelab itu disekat daripada menyertai sebarang kejohanan domestik atau sekatan perpindahan pemain.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 15.03.13 (1)

Tangkap layar hantaran tersebut. — Facebook/Malayantigerfans

Bagaimanapun, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tanah air seperti sudah dapat menjangkakan kelab yang dimaksudkan itu.

Ramai penyokong berpendapat bahawa kelab Liga Super yang dimaksudkan adalah Kelantan FC berikutan isu dalaman yang kini dialami oleh pasukan tersebut.

"Tiada pasukan lain dah kalau tengok keadaan sekarang ni, boleh agak dah pasukan mana," kata Faizie Asri.

"Tak boleh nak elak dah tu, kemungkinan 2024 terkubur hanya tinggal nama The Red Warriors (TRW) sahaja," kata Aeril Hoylement.

"Tahun depan tarik diri lah, tinggal Kelantan United saja," kata Sukri Mat Yie.

Sebelum ini, Kelantan FC pernah dikenakan sekatan pemain ekoran isu tunggakan gaji yang melibatkan beberapa pemain.

Namun, di sebalik masalah yang timbul, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah mengumumkan bahawa sekatan perpindahan pemain terhadap kelab Kelantan FC telah ditarik balik.

Keputusan itu dibuat selepas Kelantan FC dilaporkan berjaya menyelesaikan isu dalaman yang berkait dengan pemain dan jurulatih.

Begitupun, hal terbabit tetap menjadi persoalan sama ada MFL memaklumkan perkara tersebut kepada FIFA yang merupakan pengendali badan tertinggi dalam bola sepak dunia.

Berikutan perkara itu, walaupun sekatan perpindahan pemain Kelantan sudah ditarik balik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL namun kes-kes yang melibatkan Kelantan FC di peringkat FIFA dilaporkan masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, kes pasukan Kelantan FC di peringkat FIFA masih tidak diketahui kerana belum ada pengesahan daripada badan tertinggi bola sepak dunia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram