[VIDEO] Bengang tak dapat bola, bek Indonesia sengaja pijak paha lawan


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan Sandy dengan sengaja mengasari pemain Persis Solo yang sudah terjatuh di atas padang.

AKSI Liga 1 Indonesia antara RANS Nusantara dan Persis Solo pada Jumaat diwarnai momen kurang senang apabila pemain tuan rumah, Marckho Sandy menunjukkan kelakuan tidak profesional ketika perlawanan berlangsung.

Dalam perlawanan di Stadium Maguwoharjo, Indonesia, RANS Nusantara ketinggalan setelah pemain tengah lawan, Alexis Messidoro meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-1 memasuki minit ke-73 permainan.

Kedudukan tersebut sudah tentu memberi tekanan buat skuad The Phoenix yang tidak mahu mengalami kekalahan dalam perlawanan berkenaan kerana dikhuatiri akan kehilangan tempat dalam kelompok tiga teratas Liga 1 Indonesia.

Jadi, dalam usaha untuk mengikat semula kedudukan, pemain pastinya mahu beraksi dengan lebih pantas dan tidak mahu membuang masa-masa berharga.

Namun, sikap tidak profesional secara tiba-tiba ditunjukkan Marckho Sandy apabila dia memijak kaki pemain Persis, Faqih Maulana.

Situasi itu berlaku ketika Faqih terjatuh, namun masih cuba untuk mengawal bola dengan melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya yang tidak dijaga.

Berang dengan kegagalan untuk mendapatkan bola, Sandy bertindak memijak belakang paha lawannya tersebut sehingga menyebabkannya meraung kesakitan.

Insiden berkenaan menarik perhatian pengadil perlawanan yang kemudiannya tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada pemain berusia 28 tahun itu.

Mengulas akan hukuman berkenaan, pengendali RANS Nusantara, Eduardo Almeida berkata, kehilangan Sandy hanya memberi kesukaran buat pasukannya untuk mengikat semula kedudukan.

"Ia lebih mencabar buat kami kerana perlu bermain dengan 10 pemain sementara pasukan lawan mempunyai 11 pemain. Jadi, ia sesuatu yang normal untuk saya katakan kesukaran yang kami hadapi.

"Tetapi, kami sebenarnya ambil risiko kerana kedudukan ketika itu berpihak kepada Persis Solo. Kami cuba cipta lebih banyak peluang, namun tidak kesampaian," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram