Pengendali Hougang anggap The Rhinos ‘the best team’, tapi Kim Swee masih tak puas hati


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Sekitar aksi menarik antara Sabah FC berdepan Hougang United dalam saingan Piala AFC pada Khamis. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menewaskan Hougang United 3-1 wakil kelab dari Singapura dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Piala AFC 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila Gabriel Peres memperolehi gol seawal minit kelima apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gol pasukan lawan, Zaiful Nizam Abdullah.

Pada minit ke-37, Sabah FC sekali lagi berjaya menambah jaringan hasil sepakan mudah Darren Lok di kawasan kotak penalti menjadikan perlawanan kekal 2-0 sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Takayama Kazuma pada minit ke-61 yang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

WhatsApp Image 2023-09-22 at 08.21.52 (1)

Darren Lok muncul wira selepas mencetak dua jaringan dalam aksi berdepan Hougang United. — Facebook/Sabahfc

Namun, Sang Badak tidak menunggu lama apabila selang dua minit kemudian, Darren sekali lagi berjaya menjaringkan tandukan tepat di dalam kotak penalti menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus muncul wira perlawanan untuk kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, Kim Swee memuji semangat yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya meskipun terpaksa beraksi dalam keadaan sukar ekoran hujan lebat dalam perlawanan tersebut.

"Satu permulaan yang positif apabila dalam keadaan yang kurang baik, kita dapat keputusan yang diinginkan tetapi masih banyak perlu diperbaiki terutama dalam penyudah jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya.

“Dengan keadaan padang yang tidak begitu elok dan permukaan yang licin, ia sedikit merencatkan perancangan kita namun kita masih dapat dua gol dari ‘set piece’ dan pemain tunjuk semangat juang dalam perlawanan ini selepas dibolosi," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic mengakui pasukannya tidak mampu menyaingi pasukan Sabah FC dan melihat kekalahan itu memberi banyak perkara positif kepada skuad kendaliannya.

" Tahniah kepada Sabah kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik dari kami. Mereka banyak menekan kami sejak dari awal permainan dan kami sememangnya ‘second best’ dalam semua bahagian di perlawanan ini.

"Banyak perkara positif yang diperolehi dari perlawanan ini dengan para pemain bertuah kerana dapat bermain dengan pasukan yang lebih baik dan saya rasa mereka sudah berikan segala-segalanya tetapi seperti saya katakan, Sabah adalah pasukan yang lebih baik,” katanya.

Sabah FC akan memulakan aksi Piala Malaysia berdepan Perak FC pada 25 September sebelum aksi kedua peringkat Kumpulan H Piala AFC bertemu kelab Indonesia, PSM Makassar pada 5 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram