Jeneral berusia 22 tahun jadi nadi Sang Penyu benam anak-anak buah Abbas Saad


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Barisan pemain Sang Penyu yang berpuas hati dengan kemenangan pertama dalam Piala AFC 2023. — Facebook/Terengganufc

TERENGGANU FC (TFC) memulakan langkah kanan dalam saingan kumpulan G Piala AFC selepas menundukkan Central Coast Mariners dengan kemenangan tipis 1-0 pada Rabu.

Meskipun gagal mencipta sebarang jaringan dalam aksi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu, pemain tengah TFC, Habib Haroon dilihat mendominasi di bahagian tengah ketika menentang kelab gergasi wakil Australia tersebut.

Dalam pertemuan pembukaan Kumpulan G Piala AFC, pemain kelahiran Bahrain itu membantu Sang Penyu mengejutkan kelab Australia dengan meraih kemenangan.

Kesilapan pemain pertahanan lawan, Nathan Paull yang tertampan bola lalu masuk ke gawang sendiri pada masa tambahan babak pertama memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Kapten Sang Penyu, Haroon dilihat menyerlah apabila dia menguasai bahagian tengah dan kekal padu di bahagian pertahanan untuk menghalang Mariners daripada membolosi gawang.

“Untuk perlawanan pertama ini, kami sudah melakukan persiapan terbaik sebagai satu pasukan. Kami memerlukan kemenangan dan saya gembira dengan semangat juang seperti ini," katanya.

Jeneral tengah itu juga akui kemenangan 2-0 bertemu pasukan Selangor dalam aksi Piala Malaysia sebelum ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan sebelum turun berentap di Piala AFC 2023.

Pemain berusia 22 tahun itu bangga dengan persembahan yang dipersembahkan oleh rakan sepasukannya.

Sementara itu, penjaga gol dan kapten Mariners Danny Vukovic berkata, pasukannya sepatutnya menggunakan peluang yang mereka perolehi dalam perlawanan tersebut.

“Kami gagal mencipta sebarang jaringan walaupun ada peluang," jelasnya.

Terengganu seterusnya akan menentang kelab Indonesia, Bali United yang bakal berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada 4 Oktober. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram