Tular gambar di Wisma FAM, Akmal Rizal nafi ganti E. Elavarasan


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Akmal RIzal sebelum ini disebut-sebut bakal mengisi jawatan ditinggalkan E. Elavarasan di skuad B-23 Malaysia. — MFL

Pengendali skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menafikan yang dia berada dalam perebutan jawatan jurulatih pasukan bawah 23 tahun (B-23) Malaysia.

Bekas penyerang kebangsaan itu menafikan yang dia akan menggantikan E. Elavarasan yang meletakkan jawatan selepas berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia B-23 di Qatar pada 2024.

Ia susulan sebelum ini spekulasi bertiup kencang apabila Akmal memuat naik gambarnya yang berada di Wisma FAM pada Jumaat.

akmal

Akmal bergambar di Wisma FAM. — Twitter (X)/Akmal Rizal

Namun pada Sabtu, Akmal menafikan perkara tersebut dengan mengatakan ia semua adalah khabar angin semata-mata.

"Saya menafikan segala berita dan khabar angin yang mengatakan saya akan menggantikan E. Elavarasan.

"Masih banyak yang perlu saya belajar," kata Akmal di laman Twitter (X) miliknya.

Sebelum ini, Akmal pernah memberitahu Majoriti dia terbuka dengan potensi untuk menyertai skuad muda kebangsaan.

Menurut Akmal, adalah menjadi impian pengendali skuad Piala MFL Penang FC itu untuk terlibat dengan skuad kebangsaan kerana suasana bola sepak antarabangsa menarik perhatiannya.

Malah, Akmal juga mempunyai manifesto ingin memulihkan prestasi Luqman Hakim yang merudum ketika ini. Sebagai bekas penyerang, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk menaikkan keyakinan pemain muda itu.

"Saya ingin tingkatkan keyakinan Luqman Hakim kerana bagi saya dia ada kualiti sebagai penyerang utama. Cumanya apabila kurang bermain di peringkat kelab, dia agak gugup bila berada di kawasan lawan sewaktu menyerang," kata Akmal kepada Majoriti.

Setakat ini, FAM masih lagi membisu mengenai siapakah pengganti Elavarasan di skuad B-23 negara dengan badan induk bola sepak kebangsaan itu dalam sedang mempertimbang beberapa nama jurulatih tempatan serta luar bagi jawatan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram