MISTERI mengenai siapakah bakal pengganti E. Elavarasan di skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia masih belum menemui jawapannya.
Ada pelbagai desas-desus mengenai perkara ini. Terdapat spekulasi mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ingin mendapatkan pengendali dari luar negara.
Tetapi, ada juga cakap-cakap yang mengatakan pengendali tempatan turut mendapat pertimbangan badan induk bola sepak negara. Bagi penyokong, itu adalah satu perkara baik kerana FAM sedia memberi peluang kepada pengendali tempatan.
Akan tetapi, penyokong cuma mahukan pengendali tempatan yang muda dan sedang meningkat naik untuk menjaga pemain-pemain muda negara.
Oleh itu, muncul beberapa nama pengendali muda tempatan yang menjadi sebutan. Hairuddin Omar, Shukor Adan dan Akmal Rizal adalah jurulatih muda tempatan yang diharapkan penyokong akan menggantikan Elavarasan.
Bagi Akmal yang kini membimbing skuad Piala MFL Penang FC, seandainya tawaran itu datang daripada pihak FAM ia pasti sukar untuk ditolak bekas pemain kebangsaan tersebut.
Menurut Akmal, mengendalikan skuad kebangsaan adalah salah satu cita-citanya selepas terjun ke dalam bidang kejurulatihan.
Akmal merupakan pengendali skuad Piala MFL Penang FC. — Facebook/Penang FC
"Saya rasa ini adalah satu penghormatan jika ditawarkan jawatan pengendali skuad B-23 Malaysia. Saya sentiasa bersedia jika pihak FAM rasa saya layak memikul tanggungjawab tersebut.
"Peluang yang datang perlu diambil kerana pengalaman dan suasana bola sepak antarabangsa cukup menarik minat saya. Tanggungjawab juga besar untuk sediakan skuad terbaik menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar kelak," kata Akmal kepada Majoriti.
Seandainya namanya dipilih FAM, Akmal mempunyai tugas besar dalam memastikan pemain berasa yakin dalam berdepan mana-mana pihak lawan serta meningkatkan keserasian antara mereka.
Akmal menganggap isu keyakinan menjadikan pemain Malaysia tidak mampu untuk beranikan diri apabila bertemu lawan yang lebih sukar.
"Pemain-pemain yang ada sekarang adalah yang terbaik dalam liga kita. Cuma perlu ada satu corak latihan dan taktikal yang boleh membantu pemain-pemain ini serasi sebagai sebuah pasukan kuat.
"Selain itu, keyakinan mereka juga perlu ditingkatkan supaya mereka boleh bersaing dengan mana-mana pasukan pun selepas ini. Ada beberapa main yang mempunyai kualiti untuk masuk ke skuad senior jika terus konsisten dengan prestasi mereka," ujar Akmal.
Bukan itu sahaja, Akmal juga mempunya misi besar ingin menggilap semula bakat yang ada pada penyerang negara iaitu Luqman Hakim.
Luqman Hakim (tengah) dikritik hebat kerana persembahannya dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand. — Facebook/FAM
Luqman sebelum ini menerima kritikan hebat penyokong kerana gagal mempamer persembahan menyakinkan sewaktu pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand.
"Saya ingin tingkatkan keyakinan Luqman Hakim kerana bagi saya dia ada kualiti sebagai penyerang utama. Cumanya apabila kurang bermain di peringkat kelab, dia agak gugup bila berada di kawasan lawan sewaktu menyerang," jelas Akmal.
Sebagai rekod, Akmal masih lagi mempunyai setahun berbaki dalam kontraknya bersama Harimau Kumbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram