DALAM dunia bola sepak, seorang pemain yang kurang diberikan pengiktirafan sering dilabel sebagai 'underrated' dengan frasa itu cukup dikenali di seluruh dunia.
Seorang pemain yang berada di bawah label itu boleh dianggap sering memberikan persembahan terbaik sepanjang kariernya di mana sahaja posisi yang diletakkan.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap bola sepak tempatan memandangkan pemain 'underrated' sering disaksikan sejak dahulu lagi.
Pertahanan tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni merupakan seorang yang sesuai untuk diletakkan dalam kategori itu apabila dia sering berada dalam prestasi terbaik di peringkat kelab.
Meskipun hadir dengan reputasi sebagai seorang yang cukup konsisten, pemain yang dikenali sebagai 'Nijey' itu jarang diberikan minit permainan bersama skuad kebangsaan.
Shahrul Nizam (kanan) sudah bersama skuad Sang Penyu sejak 2021.
Peluang terhad tersebut sudah cukup untuk melabelnya sebagai 'underrated' apabila pelbagai pihak lebih tertarik dengan mereka yang lebih ternama.
Bagaimanapun, perkara itu tidak memberi kesan terhadap rasa sayang penyokong skuad Sang Penyu terhadapnya yang sering menantikan kelibatnya di atas padang.
Tidak cukup dengan itu, Shahrul Nizam memiliki satu lagi ciri yang sukar dicari hari ini apabila dia cukup setia buat Terengganu FC.
Walaupun mempunyai peluang untuk mengembangkan bakatnya di pasukan-pasukan gergasi Liga Super, pemain berusia 25 tahun berkenaan memilih untuk terus kekal di kelab Pantai Timur itu.
Persoalannya, adakah terdapatnya seorang pemain yang memiliki tahap kesetiaan tinggi di kelab masing-masing, namun masih dianggap sebagai 'underrated'?
Berdasarkan pemerhatian lalu, Majoriti mendapati terdapat tiga pemain selain Shahrul Nizam yang memilih untuk kekal dengan pasukan tersendiri, namun kurang diberikan perhatian.
1. Ashari Shamsudin (Terengganu FC)
Dari 2000 sehingga 2010, arena bola sepak tanah air sering diwarnai penyerang atau pemain tempatan yang cukup prolifik di hadapan pintu gol.
Salah seorang yang semestinya sukar dilupakan ialah bekas tonggak Terengganu FA, Ashari Shamsudin apabila dia sering menjadi ancaman terhadap benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, ketajamannya di atas padang bukanlah sebab utama yang menyebabkannya sukar dilupakan memandangkan anak jati Marang, Terengganu itu cukup setia bersama skuad Sang Penyu.
Sepanjang kariernya yang bermula pada 2005, pemain versatil itu hanya berkelana sebanyak sekali iaitu pada 2017 apabila dia memilih untuk menyertai Pahang FA.
Ashari memiliki reputasi cukup baik dalam kalangan penyokong Sang Penyu.
Penghijrahan itu dibuat selepas pasukan Pantai Timur berkenaan tersingkir ke Liga Perdana, namun segera kembali ke divisyen teratas bola sepak tanah air pada tahun berikutnya.
Meskipun memiliki pelbagai tawaran sepanjang kariernya, pemain berkenaan menunjukkan kesetiaannya terhadap Terengganu FA dengan menyumbangkan 82 gol secara keseluruhan dalam Liga Super.
Bagaimanapun, statistik membanggakan itu tidak cukup untuk meletakkannya dalam skuad kebangsaan dengan lebih kerap memandangkan dia hanya meraih 15 penampilan bersama Harimau Malaya.
Peluang yang terhad itu dilihat berpunca daripada lambakan pilihan penyerang pada zaman kemuncaknya, seperti Amri Yahyah dan Safee Sali.
Kedua-dua ciri berkenaan sudah cukup untuk meletakkan Ashari sebagai seorang pemain 'underrated', namun terus setia di kelabnya tersendiri.
2. Khyril Muhymeen Zambri (Kedah FA)
Kejuaraan 'double treble' yang diraih Kedah FA pada 2007 dan 2008 merupakan sebuah pencapaian sukar dilupakan bagi peminat setia kelab Utara tanah air itu.
Salah seorang pemain yang bernasib baik berada dalam skuad serba lengkap itu ialah penyerang sayap, Khyril Muhymeen Zambri setelah dibawa masuk dari skuad belia Sang Kenari pada 2005.
Sepanjang tahun perkhidmatannya bersama pasukan berkenaan, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mencatatkan 106 penampilan dengan 39 gol berjaya dijaringkannya.
Kesetiaannya bersama Kedah FA akhirnya diuji pada 2012 ketika kelabnya tersebut jatuh ke Liga Perdana dengan rata-rata bintang pasukan itu mencari angin baharu.
Khyril meluangkan sembilan tahun bersama skuad Sang Kenari.
Namun, Khyril bersama beberapa pemain lain memilih untuk kekal bersama skuad Sang Kenari untuk dua musim lagi walaupun masih terdapat pelbagai pilihan dalam Liga Super.
Tetapi, pada 2014, pemain lincah tersebut memilih untuk mencari angin baharu dalam kariernya setelah menyertai Negeri Sembilan FA.
Meskipun memiliki satu karier yang cukup prolifik, Khyril hanya meraih 31 penampilan di peringkat kebangsaan dengan nasibnya turut sama seperti Ashari.
Kini, penyerang tersebut masih bermain secara aktif dalam Liga M3 bersama Harini FT yang dibanjiri legenda bola sepak tanah air, seperti Norshahrul Idlan Talaha dan N Thanabalan.
3. Idris Ahmad (Perak FC)
Pada 2021, Perak FC mengalami satu tempoh paling mengecewakan dalam sejarah kelab apabila buat pertama kali mereka tersingkir ke divisyen kedua bola sepak negara.
Situasi berkenaan mengakibatkan bintang-bintang pasukan memilih untuk meninggalkan skuad The Bos Gaurus (TBG) apabila terdapat laporan mengenai isu tunggakan yang dihadapi mereka.
Namun, langkah itu tidak diambil bek tengah mereka, Idris Ahmad yang memilih untuk mengekalkan kesetiaannya buat kelab Utara tanah air berkenaan.
Pemain yang dikenali sebagai 'Yop Derih' tersebut memilih untuk kekal bersama Perak FC dengan harapan dapat menaikkan semula pasukannya ke Liga Super.
Idris Ahmad merupakan antara bintang pertahanan terbaik pernah menyertai Perak FA.
Kesetiaan itu dibuat selepas kelab berkenaan membolehkannya meraih trofi pertama dalam kariernya setelah mereka muncul juara Piala Malaysia 2018.
Bagaimanapun, meskipun hasrat itu tercapai akibat perubahan format daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kontrak Idris bersama Perak FC tidak disambung.
Keputusan itu sememangnya cukup memberi kesan terhadap penyokong skuad TBG yang sering mengangkatnya sebagai salah seorang pertahanan terbaik pernah menyarung jersi pasukan.
Tetapi, kecemerlangannya bersama Perak FC tidak cukup untuk mendapatkannya peluang lebih kerap bersama Harimau Malaya apabila dia tidak meraih sebarang panggilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram