KIRA-KIRA Ogos lalu, Penang FC mengambil langkah drastik untuk menamatkan kontrak beberapa pegawai pasukan serta-merta susulan prestasi kurang memuaskan yang ditampilkan dalam dua musim saingan Liga Super.
Antara yang terlibat secara langsung dengan pemecatan mengejut tersebut ialah Pengarah Teknikal (PT) kelab, Kamal Kalid dan pengurus pasukan Liga Super pasukan, Ong Eng Hua.
Menurut laporan media, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi menyatakan bahawa selain mempamerkan prestasi hambar dalam saingan Liga Super, pengurusan Penang FC terpaksa mengambil langkah pemecatan tersebut berikutan kegagalan skuad senior Harimau Kumbang itu melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia.
Selepas sebulan mencari siapa individu yang bakal mengisi jawatan berkenaan terutama posisi Pengarah Teknikal, Ahli Lembaga Pengarah kelabnya akhirnya mengumumkan bahawa terdapat tiga permohonan diterima untuk menggantikan posisi Kamal dan berminat untuk membuat perubahan untuk skuad Harimau Kumbang.
Azraai Khor pernah meraih kejuaraan double treble bersama Kedah. — Facebook/Azraai
"Melalui satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Penang FC yang telah berlangsung pada petang tadi, Penang FC telah menerima tiga permohonan daripada individu yang menyatakan minat bagi jawatan Pengarah Teknikal kelab yang kosong sejak bulan lepas.
"Keputusan bagi mengisi kekosongan jawatan ini akan dibuat oleh Lembaga Pengarah dalam masa terdekat," memetik kenyataan yang dikeluarkan Penang FC di laman Facebook rasmi kelab tersebut pada Jumaat.
Susulan pengumuman berkenaan, penyokong Harimau Kumbang menjadi antara pihak terawal yang menyenaraikan beberapa nama seperti legenda jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah dan dua bekas pengendali Penang FC iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan serta Merzagua Abderrazak dijangka mengisi jawatan itu.
Azraai Khor antara nama yang paling didambakan kelab untuk menjadi sebahagian keluarga Penang FC kerana pengalamannya bersama beberapa pasukan seperti Perak, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan, pastinya beliau sudah mempunyai idea untuk membaiki prestasi Harimau Kumbang.
Sementara itu, bekas pemain Penang FC, Merzagua Abderrazak juga sempat menawarkan diri kepada pihak pengurusan untuk membantu pasukan kelab kesayangannya itu kembali menjadi kelab yang digeruni dalam saingan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram