Bahagian serangan perlu diperbaiki, saya yakin Terengganu boleh melangkah lebih jauh — Irfan Bakti


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Sekitar aksi Terengganu FC dan Central Coast Mariners dalam saingan Piala AFC 2023 pada Rabu. — Facebook/Terengganufc

TERENGGANU FC membuktikan kemampuan mereka di pentas Asia dengan cukup baik apabila meraih kemenangan bermakna ke atas kelab Australia, Central Coast Mariners pada Rabu.

Jaringan sendiri daripada pertahanan lawan, Nathan Paull pada masa tambahan separuh masa pertama memastikan tiga mata milik Sang Penyu dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Ali Salim tidak ketinggalan untuk memberi pandangan mengenai kemenangan berharga tersebut.

"Kemenangan 1-0 berdepan wakil Australia adalah keputusan yang baik untuk Terengganu.

"Saya rasa Terengganu boleh melangkah lebih jauh lagi," katanya kepada Majoriti.

Terenggnu AFC

Sebahagian aksi menarik Sang Penyu berdepan wakil kelab Australia. — Facebook/Terengganufc

Selain itu, jurulatih berusia 72 tahun itu turut memuji Terengganu sebagai satu pasukan yang baik dalam negara.

Malah Irfan turut memuji barisan pemain import dan tempatan yang sentiasa bersedia untuk membantu Sang Penyu meraih kemenangan dalam atau luar negara.

"Memang Terengganu satu pasukan yang boleh dikatakan Top 3 atau 4 di negara kita, jadi mereka mempunyai pemain import dan tempatan yang baik boleh membantu pasukan itu lebih maju lagi," ujarnya.

Mengulas perlawanan seterusnya, Irfan berasakan bahawa Terengganu memiliki kelebihan untuk melangkah ke peringkat playoff.

"Melihat kepada prestasi semasa Terengganu, pastinya untuk perlawanan seterusnya, mereka boleh melangkah lebih jauh lagi," kongsinya.

Bercakap mengenai taktikal yang ditampilkan oleh Ketua Jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner, Irfan yang juga merupakan jurulatih berpengalaman itu memberi pendapat mengenai perkara tersebut.

"Taktikal Tomislav baik, bukan senang nak menang dengan pasukan yang kuat, bekas juara Liga Australia pula," jelasnya.

Melihat kepada prestasi pasukan yang bakal dikunjungi oleh Terengganu untuk perlawanan seterusnya, Irfan berasakan bahawa bahagian serangan perlu diperbaiki oleh Sang Penyu berikutan gagal mencipta sebarang jaringan ketika itu.

"Bagi saya, bahagian serangan perlu diperbaiki untuk menjaringkan gol memandangkan ketika perlawanan berdepan Central Coast Mariners, mereka banyak terlepas beberapa peluang.

"Untuk perlawanan seterusnya, saya rasa jurulatih Terengganu akan memperbaiki bahagian serangan," jelasnya.

Perlawanan kedua buat Terengganu FC dalam saingan Piala AFC adalah 4 Oktober dengan mereka bakal berkunjung ke Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia untuk berdepan Bali United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram