[VIDEO] Man United terus tersungkur, Onana buat hal lagi


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Penjaga gol Man United, Andre Onana kecewa dengan prestasinya. — Agensi

MANCHESTER United terus dirundung kekalahan apabila tewas 3-4 kepada Bayern Munich dalam aksi pertama Kumpulan A Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada Khamis.

Dalam perlawanan tersebut, The Red Devils terpaksa pulang dengan kekecewaan selepas dibolosi empat jaringan yang gagal diselamatkan oleh Andre Onana.

Dalam pada itu, tampil mengulas kekalahan itu, penjaga gol Man United, Onana bagaimanapun mengakui kekalahan tersebut merupakan kesilapan yang dilakukan olehnya sendiri dalam perlawanan tersebut.

"Sukar untuk kalah dengan cara ini kerana pada mulanya kami bermula dengan sangat baik.

"Selepas kesilapan saya, kami hilang kawalan permainan. Ia adalah situasi yang sukar untuk kami dan saya telah mengecewakan pasukan," katanya.

Tambahnya lagi, jika melihat kepada seluruhan perlawanan, The Red Devils menguasai permainan namun gagal mencipta sebarang peluang.

"Banyak yang perlu saya buktikan kerana permulaan saya di Manchester tidak begitu baik, bukan seperti yang saya mahukan.

"Ini adalah antara perlawanan terburuk saya dan ia sukar kerana kami mempunyai cita-cita besar. Kami adalah kelab besar dan mahu memenangi segala-galanya.

"Ia adalah masa yang sukar dan kami perlu bersama dan terus bekerja keras," jelasnya.

Bagaimanapun, sebelum perlawanan berdepan Bayern, Onana mencuri tumpuan penyokong bola sepak apabila dia cuba menenangkan salah seorang wartawan dengan menjangkakan bahawa Man United akan meraih kemenangan.

"Kita menang bersama, kita kalah bersama, kita akan merekodkan clean sheet kerana kita semua adalah satu pasukan.

"Rakan sepasukan saya sudah bekerja keras dan jika mereka perlu menuding jari, mereka perlu menuding kepada saya kerana saya adalah penjaga gol," ujarnya.

Meskipun tewas dengan keputusan 3-4, pemain tengah Man United, Casemiro berjaya menyumbat dua gol pada penghujung perlawanan selain Rasmus Hojlund yang mencetak jaringan minit ke-49. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram