Jawatankuasa Tatatertib PBI ambil serius isu pergaduhan penyokong di Perak


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Tangkap layar video aksi kejar mengejar di antara penyokong dengan pengadil yang tular di media sosial. — Facebook

SEBELUM ini, tular satu video memaparkan seorang penyokong tidak berpuas hati dengan pengadil semasa perlawanan sedang berlangsung.

Ia memaksa pengadil itu lari menyelamatkan diri ke arah penyokong-penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Difahamkan, perlawanan tersebut merupakan aksi separuh akhir liga bola sepak anjuran Pasukan Bola Sepak Ipoh (PBI), yang berlangsung di padang bola sepak Taman Dr Seenivasagam, Ipoh, Perak pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, pada Khamis, PBI, Perak dalam satu kenyataan mencapai keputusan terhadap kesalahan undang-undang yang berlaku dalam liga bola sepak.

Memetik laporan portal Liga Lokal Perak, keputusan itu dibuat bagi memastikan agar kesalahan seperti itu tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI), mencapai kata putus untuk memberi amaran keras bagi kes pertama kepada penyokong dan pemain-pemain simpanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Bandaraya Ipoh, Perak kerana melanggar undang-undang bola sepak apabila meluru masuk ke padang selepas pengadil perlawanan meniup wisel tamat permainan bagi meraikan kemenangan.

Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika sekolah itu mengulangi kesalahan yang sama.

WhatsApp Image 2023-09-21 at 17.48.12

Tangkap layar kenyataan tersebut. —Facebook/Ligalokalperak

Bagi kes kedua pula, mengenai insiden kekecohan yang membabitkan pemain serta jurulatih susulan tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadilan.

Tindakan diambil kepada Ketua Jurulatih, Mohammad Azahar Arafullah dan Penolong Jurulatih, Mohd Zaidi Abdul Hamid dan tiga orang pemain simpanan pasukan ARL FC apabila dilihat meluru masuk ke padang dengan tujuan untuk menyerang pengadil perlawanan namun pengadil itu sempat melarikan diri.

Susulan itu, pasukan ARL FC digantung selama tiga tahun bermula dari tarikh kesalahan dilakukan pada 14 September 2023 sehingga 13 September 2026 dan denda sebanyak RM500.00.

Pasukan ARL FC tidak dibenarkan bertanding dalam mana-mana kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak di Ipoh dalam tempoh penggantungan.

Bagaimanapun, pasukan ARL masih berpeluang untuk membuat rayuan.

Bukan sahaja pasukan ARL malah Ketua Jurulatih dan Penolong Jurulatih kelab itu turut digantung selama lima tahun bermula pada tarikh kesalahan iaitu pada 14 September 2023 sehingga 13 September 2028 dan hukuman akan lebih berat dikenakan sekiranya mengulangi kesalahan yang sama.

Kedua-dua mereka masih dibenarkan untuk membuat rayuan.

Bagi kes ketiga pula, Ketua Jurulatih GMC, Ahmad Faridzul Harun menerima kad merah kerana membaling objek dan mengeluarkan kata-kata yang menghina kepada pengadil perlawanan.

Berikutan perkara itu, dia digantung selama lima perlawanan bermula dari tarikh kesalahan pada 14 September 2023 dan didenda sebanyak RM300.

Selain itu, pemain simpanan pasukan GMC, Nor Shahrul Rizan Jumahary yang tidak didaftarkan sebagai pemain dilihat cuba mengejar pengadil perlawanan di luar padang permainan tetapi dihalang oleh pegawai-pegawai pasukan lain bagaimanapun mengeluarkan kenyataan di media sosial Facebook mengenai mutu pengadilan Pengadil Persatuan Bola Sepak Ipoh.

Susulan itu, dia digantung selama tiga perlawanan bermula tarikh 14 September dan didenda sebanyak RM200. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram