PAL 'platform' bakat muda tercicir, mahu beri kelainan 'scene' bola sepak amatur domestik


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Liga Amatur Pahang menitik beratkan 'freshness' dalam setiap perlawanan.

BOLA sepak amatur kini boleh diibaratkan 'bak cendawan tumbuh selepas hujan' apabila banyak pasukan dan liga hampir wujud di semua daerah-bandar setiap negeri.

Kewujudan padang sintetik yang banyak juga menjadi pendorong kepada setiap pasukan dan penganjur untuk mewujudkan liga amatur bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk bermain bola sepak.

Antaranya ialah Liga Amatur Pahang (PAL) yang diilhamkan oleh YM Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Almarhum Tengku Abdullah bertujuan mengumpulkan pasukan bagi merebut gelaran 'pasukan amatur' terbaik di Pahang.

Pasukan

Antara pasukan yang menyertai PAL 2023.

PAL mendapat sokongan dari Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan mendapat kelulusan sebagai Liga M5 dari Amateur Football League (AFL) kerjasama bersama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Jengka sebagai rakan strategik dan juga portal TokGajah.com sebagai rakan media rasmi.

Walaupun tahun pertama penganjuran, liga ini berjaya menarik minat penaja seperti syarikat gergasi FOMEMA, syarikat pengeluar air isotonik Boom Beverage dan syarikat pencetak jersi RKJC.

Pengarah Projek & Operasi, Liga Amatur Pahang 2023, Mohd Faiz Mazlan, 36, berkata, Liga Amatur Pahang dianjurkan untuk menyediakan platform kelab amatur bertanding dalam liga kompetitif selain beri peluang kedua bagi pemain muda yang tercicir.

"2023 adalah tahun pertama Liga Amatur Pahang dianjurkan, kesinambungan dari Kuantan Amatur League 2022 yang dianjurkan oleh Kuantan Sport Liaison Venture (KSLV) yang telah disertai oleh 12 pasukan.

"Faktor utama penganjuran adalah untuk menyediakan platform untuk pasukan/kelab amatur bertanding dalam liga kompetitif yang berlainan daerah yang selama ini di dominasi oleh pasukan yang diwakili oleh persatuan daerah.

"Selain itu juga, memberi pendedahan dan juga peluang kedua bagi pemain muda yang tercicir dari liga pembangunan (Liga KPM, Piala Belia, Piala Presiden) yang mana antara syarat liga adalah pasukan/kelab wajib menurunkan 2 orang pemain bawah 20 tahun didalam kesebelasan utama," katanya kepada Majoriti.

LigaAmaturPahang_QF1

Antara promosi yang dibuat PAL 2023 bagi menarik minat seluruh rakyat Pahang untuk menyertai lima amatur itu.

Tambahnya lagi, salah satu objektif Liga Amatur Pahang untuk mempertengahkan bakat-bakat muda yang tercicir dibuktikan dengan dominasi pemain berusia bawah 20 tahun.

"Salah satu objektif Liga Amatur Pahang adalah untuk mempertengahkan bakat-bakat muda yang tercicir, ini dibuktikan apabila kesemua anugerah individu tahun ini didominasi oleh pemain bawah 20 tahun iaitu Amir Eimran Yusni (19 tahun), Johari Che Joha (20 tahun) dan Ammar Fitri Armaizal (16 tahun).

"Tidak mustahil untuk edisi akan datang, pemain yang bermain di Liga Amatur Pahang mampu menarik minat scouting pasukan Liga M," ujarnya.

Pemain Muda

Ammar Fitri Armaizal diangkat sebagai pemain muda terbaik PAL 2023.

Faiz berkata, Liga Amatur Pahang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Pahang yang memberikan kelainan dalam 'scene' bola sepak amatur di negara ini.

"Penganjuran liga seperti ini sangat dinantikan oleh pasukan/kelab di Pahang yang mana mereka bukan sahaja dapat bersaing dengan pasukan berlainan daerah, malah pemain juga dapat minit permainan yang jauh lebih tinggi berbanding liga lain di Pahang.

"Liga Amatur Pahang menitik beratkan 'freshness' yang mana setiap perlawanan, keputusan perlawanan, carta kedudukan mingguan sentiasa di kemaskini secara berkala di sosial media rasmi liga.

'Kehadiran penyokong di venue Peringkat Zon sangat menggalakkan malah perlawanan Peringkat Negeri yang disiarkan secara langsung di Facebook telah menarik ribuan viewer yang membuktikan liga amatur juga mampu menarik minat penyokong," ujarnya.

Sharul Nazeem.

Pengarah Projek & Operasi, Liga Amatur Pahang 2023 itu juga berharap PAL berjaya mencapai separuh dari pencapian Selangor Champions League (SCL) yang merupakan 'benchmark' liga amatur di Malaysia.

"Harapan saya adalah Liga Amatur Pahang berjaya mencapai separuh dari pencapaian SCL dari sudut mutu pasukan/kelab bertanding dan kualiti penganjuran malah menjadi medan buat pengadil muda yang berbakat sama seperti Razlan Joffri dan Tuan Yassin Tuan Hanafiah yang memulakan karier di Liga FAS sehingga berjaya menjadi pengadil peringkat antarabangsa.

"Liga FAS dan SCL juga berjaya melahrikan pemain seperti Sharul Nazeem, Dirga Surdi dan Alif Romli berjaya beraksi di Liga Super.

"SCL adalah 'benchmark' liga amatur di Malaysia dan saya menjadikan SCL sebagai sumber inspirasi dan rujukan untuk menaikkan mutu dan kualiti penganjuran Liga Amatur Pahang supaya pasukan/kelab amatur di Pahang berebut untuk menyertai liga ini di masa akan datang," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram