'Tak sangka rupanya kita kenal', orang kuat Ultrasel antara mangsa maut kemalangan Putrajaya


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Allahyarham Faris antara mangsa nahas yang maut di Putrajaya pada Rabu.

DUA maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan buah kenderaan di Persiaran Utara, Putrajaya pada Rabu.

Ekoran daripada kemalangan tersebut, dua penunggang motosikal lelaki yang berusia 25 dan 39 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh Paramedik Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Salah seorang mangsa terlibat ialah kakitangan Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang maut di tempat kejadian.

Menerusi laporan Berita Harian, proses bedah siasat ke atas Allahyarham Faris selesai pukul 11 pagi Khamis dan sudah dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang, Semenyih.

UltraSel

Ultra Selangor mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham Faris.

Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, Allahyarham merupakan seorang penyokong tegar Selangor FC dan cukup dikenali dalam kalangan pemain ke-12 Gergasi Merah, Ultra Selangor.

Ultra Selangor turut mengucapkan takziah kepada Allahyarham yang mana dia juga merupakan salah seorang komrad untuk kumpulan penyokong itu.

"Dukacita dimaklumkan bahawa seorang komrad ultraSel Faris Haziq Bin Abu Bakar telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi akibat kemalangan jalan raya di Putrajaya.

"UltraSel mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga. Semoga rohnya dicucuri Rahmat," ucapnya.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Selangor turut berduka dengan pemergian Allahyarham yang mungkin selama ini banyak berkorban masa dan tenaga untuk menyokong pasukan tercinta.

"Salam Takziah kepada komrad dari ultrasel. Semoga ditempatkan bersama golongan orang yang beriman. Al fatihah," kata @TheSupporters.

"Tak sangka rupanya orang yang kita kenal terlibat dengan kemalangan lori di Putrajaya," jelas @Anakmemberontak.

"Semoga keluarga tabah dan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," ujar @Army4769.

Selepas ini Selangor FC akan melayani kunjungan Terengganu FC dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia dalam misi wajib menang selepas ketinggalan menerusi agregat 0-2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram