'Pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon', Malaysia di landasan tepat sasar ranking 120 dunia


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Skuad kebangsaan kini berada di ranking ke-134 dunia.

PASUKAN Harimau Malaya terus memperbaiki ranking untuk berada di kedudukan ke-134 dunia dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.

Dua keputusan seri di pentas antarabangsa pada awal bulan lalu di China telah berjaya melonjakkan ranking Harimau Malaya daripada kedudukan ke-136 hingga berada di tempat ke-134 dunia.

Menerusi kemas kini terbaharu yang dikeluarkan FIFA pada Khamis, skuad kendalian Kim Pan-gon naik dua anak tangga sekali gus berada di landasan yang tepat sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 nanti.

Dalam perlawanan di Chengdu, China itu, skuad kendalian Kim Pan-gon tampil dengan aksi luar biasa untuk mengikat Syria 2-2 dan tuan rumah, China 1-1 baru-baru ini.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya Harimau Malaya mampu berada di kedudukan ke-120 dunia dalam ranking FIFA menjelang hujung tahun ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kedudukan itu hanya akan berjaya dicapai sekiranya perancangan terbaik dapat dilakukan dan kejayaan memihak kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, impian untuk ranking Harimau Malaya melonjak memang menjadi keinginan badan induk itu dan mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki ranking skuad kendalian Kim Pan-gon.

381533470_1015035789569657_4052126630489537430_n

Skuad kebangsaan melonjak dua anak tangga selepas mencatatkan keputusan positif awal bulan ini.

Dalam media sosial pula, rata-rata penyokong Harimau Malaya mahu FAM mengekalkan Pan-gon lebih lama untuk membimbing skuad kebangsaan di masa akan datang.

"Pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon," luah Muhd Suzaimi.

"Kekalkan momentum dan terus mendaki," kata Imran Anuar.

"Ranking sangat penting sebab akan buka mata negara-negara lain untuk ajak 'friendly'," jelas Hasridzuan Hassan.

"Ilmu Kim Pan-gon sebagai 'Ketua Polis Kuantan' memang berkesan dalam membimbing skuad kebangsaan," ujar Eric Syafiq.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan memulakan kempen Pestabola Merdeka pada Oktober ini dengan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, India.

Kejohanan itu yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober menjadi pentas terbaik buat Harimau Malaya untuk menguji kekuatan menjelang Piala Asia di Qatar tahun depan.

Pestabola Merdeka 2023 yang disertai empat negara dengan format kalah mati itu turut menyaksikan kehadiran pasukan ranking ke-96 dunia, Palestin dan Tajikistan yang berada di tangga ke-110 dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram