Elak sejarah lama berulang, 3 sebab Kedah perlu genggam kemas Nafuzi


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Sebahagian aksi menarik antara pemain KDA FC berdepan The Cats dalam saingan suku akhir Challenge Cup pada Selasa. — Facebook/MFL

SKUAD kendalian Nafuzi Zain terpaksa menelan pahit kekalahan di halaman lawan apabila tewas di tangan pasukan tercorot Liga Super 2023, Kuching City FC dalam saingan suku akhir Challenge Cup pada Selasa.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak itu menyaksikan penyerang berbisa The Cats, Abu Kamara mencetak nama selaku penjaring tunggal buat pasukan yang berpangkalan di Borneo itu.

Sebelum ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya mengikat pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Loga Super 2023 dengan keputusan 3-3 pada 26 Ogos lalu.

Meskipun terpaksa pulang dengan kekalahan di bumi Kenyalang, penyokong Hijau Kuning beranggapan bahawa tempoh rehat Liga Malaysia punca kekalahan tersebut.

Dalam pada itu, kekalahan tersebut bukanlah faktor utama untuk menghukum pengendali kelahiran Kelantan itu memandangkan Nafuzi mencatatkan rekod terbaik dalam saingan Liga Super setakat ini.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 00.03.20 (1)

Ketua Jurulatih KDA FC musim ini, Nafuzi Zain. — Facebook/Terengganufc

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab Kedah tidak melepaskan bekas pengendali Terengganu FC itu.

1. Tidak mahu episod Cheng Hoe berulang

Pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu pernah menerima khidmat Tan Cheng Hoe sebelum Nafuzi mengambil alih tugas sebagai jurulatih skuad Sang Kenari musim 2023.

Cheng Hoe mula mencipta nama apabila cemerlang mengemudi Kedah FA (sebelum ditukar kepada Kedah Darul Aman FC) pada musim 2014 hingga 2017 sebelum disambar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2018 untuk mengemudi skuad kebangsaan.

Selama empat tahun Cheng Hoe memimpin Kedah FC, dia berjaya menghadiahkan tiga kejuaraan iaitu Liga super pada tahun 2015, Piala Malaysia musim 2016 dan Piala Sumbangsih tahun 2017.

Pengendali Selangor FC itu amat terkenal dengan taktik tiki taka dan gemar mengembangkan bakat muda sesebuah kelab seperti dilakukan di Kedah.

Dalam pada itu, tidak mahu pisang berbuah dua kali, demi menjaga perasaan penyokong negeri Jelapang Padi, peminat berharap agar Nafuzi dikekalkan mengemudi Sang Kenari dan hanya pihak pengurusan saja dapat memastikan pengendali berbakat itu kekal di Utara tanah air.

KDA FC_2

Rata-rata pemain sudah dapat mendapat rentak di bawah kendalian Nafuzi. — Facebook/KDA FC

2. DNA Nafuziball baru meresap ke darah Sang Kenari

Bukan itu sahaja, sekiranya Nafuzi dilepaskan, maka pasukan Kedah perlu memulakan semula strategi yang baharu bersama pelatih baharu dan perkara itu tentunya memakan masa yang lama untuk membuahkan hasil.

Dengan mengekalkan kedudukan Nafuzi, maka perancangannya untuk menghadiahkan KDA FC kejuaraan tidak terjejas dan dapat diteruskan.

Berikutan perkara itu, KDA FC dilihat berpeluang untuk merangkul kejuaraan kerana sudah mendatangkan beberapa pemain berbakat yang mampu memperkemaskan corak permainan skuad Sang Kenari.

Ini kerana dengan skuad yang dibina sejak awal musim, tampaknya DNA Nafuziball sudah mula meresap ke sebahagian besar pemain utama.

Perkara ini dibuktikan ketika Kedah berjaya mengikat JDT dalam saingan Liga Super baru-baru ini yang mana skuad Sang Kenari bermain dengan taktikal terbuka dan hantaran pendek, sekali gus menterjemahkan taktikal yang diterapkan Nafuzi selama ini.

Memang diakui ada masanya prestasi Kedah terumbang-ambing tetapi setiap perancangannya pastinya memerlukan lebih masa terutamanya bagi Nafuzi, pencapaiannya dalam Liga Super perlu diambil kira kerana menempatkan pasukan itu di kedudukan tiga terbaik.

3. Tiada pengganti sesuai bagi tempoh jangka pendek

Bukan mudah bagi sesebuah pasukan untuk menerima jurulatih baharu dan mengadaptasi corak permainan yang diterapkan dalam skuad.

Dalam pada itu, untuk mendapatkan khidmat pelatih yang berpengalaman pada masa kini agak sukar lagi-lagi dalam masa yang terdekat.

Maka tidak wajarlah jika khidmat Nafuzi itu ditamatkan kerana jurulatih itu sudah menunjukkan corak permainan yang menarik.

Perkara itu dapat dilihat kerana dia merupakan satu-satunya jurulatih yang berjaya mengikat JDT dengan keputusan terikat iaitu 3-3 musim ini.

Andai kata FAM menawarkan jawatan Ketua Jurulatih bagi pasukan Bawah-23 Tahun (B-23) negara menggantikan E. Elavarasan yang meletak jawatan baru-baru ini, tentunya tiada pengendali yang sesuai untuk menggantikan posisi Nafuzi.

Sekiranya Nafuzi tidak dikekalkan, tiada jurulatih tempatan ketika ini yang dilihat sesuai untuk menggantikannya dengan reputasi serta tarikan cukup dekat dengan KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram