PERSEKUTUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan pada Sabtu ini bagi menentukan siapa calon terbaik mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara.
Pada Isnin lalu, badan induk bola sepak negara itu mengumumkan bahawa E. Elavarasan memutuskan untuk meninggalkan jawatan tersebut susulan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air yang dilihat kurang berpuas hati dengan taktikal diterapkannya.
Untuk rekod, Elavarasan diumumkan sebagai pengendali skuad B-23 kebangsaan pada 1 September 2022 bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Mengulas mengenai kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali berusia 61 tahun itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram mengesahkan bahawa keputusannya akan diketahui pada Sabtu ini,
"Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) akan mengeluarkan kenyataan pada Sabtu ini," katanya memetik laporan dari Stadium Astro.
Sebelum ini, beberapa calon dikaitkan akan mengisi kekosongan itu dan sebahagiannya mengatakan bahawa pengendali import menjadi pilihan utama untuk membina pasukan B-23 yang baharu.
Dong-jin kini menggalas tanggungjawab bersama kelab Hong Kong, Kitchee FC. — Agensi
Bekas pembantu jurulatih kepada Pan-gon, Kim Dong-jin yang pernah bersama-samanya di Hong Kong bersama kelab Kitchee FC antara calon utama dikatakan akan mengisi posisi tersebut.
Selain Dong-jin, nama-nama lain yang disebut bakal menggantikan Elavarasan ialah pembantu jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil dan Juan Torres Garrido yang merupakan salah seorang staf kejurulatihan Harimau Muda.
Juan Torres yang dilantik sebagai penolong jurulatih B-23 pada September lalu dipercayai membawa sesuatu kelainan untuk Harimau Muda dengan pengalaman bersama beberapa kelab di Sepanyol seperti FC Barcelona.
Selain jawatan pengendali yang akan disi pengendali import, seorang pengendali tempatan dari kelab Liga Super juga difahamkan akan 'dipinjamkan' untuk membantu mengetuai skuad B-23 Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram