MISI mencari pengganti E. Elavarasan masih diteruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan pengendali terbaik buat skuad bawah 23 tahun (B-23).
Nama seterusnya yang bakal mewarisi kerusi ditinggalkan Elavarasan mempunyai tanggungjawab besar kerana Malaysia akan bertarung dalam Piala Asia B-23 di Qatar.
Ada yang mahukan pengendali import mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Elavarasan. Pada hemat penyokong, apa yang dibawa Elavarasan tidak menaikkan tahap bola sepak Harimau Muda.
Oleh itu, penyokong dambakan pengendali luar untuk mengemudi Harimau Muda. Tetapi adakah itu satu keputusan berbaloi untuk FAM jika dilakukan?
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini adalah pro dan kontra sekiranya FAM mendapatkan pengendali import untuk Harimau Muda.
Pro: Kepakaran luar bantu lonjak prestasi
Jika FAM memilih untuk mendapatkan pengendali import, ini berpotensi dalam meningkatkan prestasi pasukan.
Dengan pemilihan yang tepat, ia mampu melonjak kualiti pasukan B-23 negara sama seperti impak dibuat oleh Kim Pan-gon (KPG) bersama Harimau Malaya.
Akan tetapi, FAM harus mencari jurulatih yang mempunyai falsafah bola sepak yang sama dengan KPG supaya kesinambungan kecemerlangan antara skuad B-23 dan Harimau Malaya dapat diselaraskan.
Jika tidak mampu mencari jurulatih yang sama falsafahnya dengan KPG, dapat pengendali yang sanggup ikut pendekatannya pun sudah memadai.
Pelaburan FAM dilihat berbaloi apabila membawa Kim Pan-gon untuk Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Pro: Kualiti latihan bertambah
Apabila mendapatkan jurulatih daripada luar, mereka pastinya akan membawa kepakaran bola ala Eropah atau Asia Timur untuk meningkatkan kualiti pasukan.
Seperti yang dilihat oleh KPG, pengendali itu telah membawa dimensi baharu kepada rejim latihan Harimau Malaya.
Satu perkara yang menarik perhatian sewaktu ketibaannya, KPG menggunakan dron dalam latihan. Ini amat membantu barisan kejurulatihan dalam menganalisis prestasi pasukan serta mengenal kelemahan yang boleh dibaiki.
Hasilnya, Harimau Malaya kini bermain lebih baik dan lebih yakin hasil daripada perubahan rejim latihan.
Seorang pengendali import pastinya terdedah dengan kepentingan sains sukan terkini dalam bola sepak dan jika FAM menggunakan pengendali luar, ia akan berikan manfaat kepada skuad muda kita.
Kim Pan-gon banyak membawa pendekatan sains sukan terkini kepada Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Kontra: Kos tinggi
Salah satu daripada kekurangan mengambil pengendali import adalah kos yang tinggi perlu dikeluarkan FAM.
Sudah pasti, untuk mendapatkan kepakaran dari luar memerlukan FAM mengeluarkan kos tambahan kerana pasti ada pengendali yang demand jika badan induk bola sepak negara benar-benar mahukan mereka.
Sudah pasti untuk mendapatkan yang terbaik memerlukan perbelanjaan lebih, sekiranya FAM benar-benar ingin membaiki kualiti skuad muda negara maka apa salahnya?
Tapi FAM akan terdedah dengan risiko hit-and-miss, mereka boleh rugi seandainya selepas mengeluarkan perbelanjaan yang banyak tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Jurulatih yang tepat dapat membuka potensi pemain B-23 negara. — Facebook/FAM
Kontra: Menafikan bakat tempatan
Satu lagi kekurangan jika FAM mengambil pengendali import adalah ia sedikit sebanyak menafikan peluang bakat tempatan untuk menyinar bersama skuad kebangsaan.
Masa kini, telah muncul kelompok pengendali muda tempatan yang mengujakan terutamanya dari segi pendekatan taktikal yang lebih moden.
Nama-nama seperti Nafuzi Zain, Hairuddin Omar, Nidzam Jamil serta Yusri Che Lah yang mahir menguruskan pemain muda berpeluang untuk menyinar tetapi ia tidak akan berlaku jika FAM memilih mendapatkan khidmat daripada luar.
Jika terus berharapkan orang luar membuat kerja, bila bakat tempatan nak dapat peluang tunjuk taring?
Tindakan mengambil pengendali luar ada baik dan buruknya, FAM harus bijak menilai supaya tidak tersalah buat pilihan.
Pilihan itu ada, buatlah keputusan dengan sebaiknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram