SEHINGGA hari ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berdiam diri mengenai pengganti kepada bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, E Elavarasan.
Pengendali berusia 62 tahun berkenaan pada Isnin mengumumkan sudah meninggalkan jawatannya itu meskipun membawa Harimau Muda ke Piala Asia B-23 tahun depan.
Namun, keputusan itu dibuat berpunca daripada tekanan penyokong bola sepak tempatan yang kurang berpuas hati dengan gaya permainan pasukan.
Kini, Elavarasan bakal kembali memegang jawatan bersama Kim Pan-gon dalam Harimau Malaya yang akan berentap dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar bermula Januari akan datang.
Situasi berkenaan menyebabkan orang ramai terus tertanya-tanya siapakah yang paling layak untuk mengemudi skuad B-23 negara dengan misi besar akan dipikulnya dalam masa terdekat.
Elavarasan meninggalkan jawatannya selepas tekanan daripada pelbagai pihak.
Menurut khabar angin, terdapat kemungkinan FAM akan mencari seorang jurulatih berasal dari Korea Selatan supaya memudahkan hubungan dengan Pan-gon.
Namun, terdapat juga sumber yang mengatakan badan induk bola sepak negara itu akan melantik pengendali tempatan dengan alasan mereka lebih memahami budaya pemain tanah air.
Antara yang disebut-sebut untuk mengendalikan skuad B-23 itu ialah jurulatih Terengganu FC II, Hairuddin Omar yang kini membuktikan kebolehannya dalam Piala MFL.
Di samping berpotensi mencungkil bakat-bakat muda, pendekatan taktikalnya juga tidak boleh dipandang rendah apabila pasukannya terus beraksi cemeralng musim ini.
Meskipun perkhabaran itu masih belum disahkan mana-mana pihak, topik berkenaan kini mula dibincangkan hangat dalam kalangan penyokong pasukan Pantai Timur tersebut.
Hairuddin memulakan kariernya sebagai jurulatih dengan cukup baik. — Facebook/Terengganu FC
Bagi mereka, kehilangan Hairuddin dikhuatiri akan menjejaskan rentak dimiliki skuad muda Sang Penyu di samping akan menyukarkan usaha untuk menaikkan bakat tempatan.
Jadi, untuk menepis ura-ura berkenaan, rata-rata penyokong Terengganu FC berharap FAM bertindak mencari calon baharu dengan nama pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mula disebut-sebut.
"Pada pendapat saya lah, kalau nak jurulatih tempatan, lebih baik dapatkan Nafuzi. Kalau mahukan yang import, minta Pan-gon dapatkan rakan senegaranya," kata Asri Asri.
"Baik lagi Nafuzi. Muda dan mempunyai idea lebih baik. Cukup sesuai dengan skuad muda negara. Harap penyokong KDA FC boleh usulkan kepada FAM," kata Roro Heck.
"Untuk raih keputusan baik dengan pantas, lebih baik dapatkan jurulatih berpengalaman. Tapi, kalau untuk jangka masa panjang, jurulatih tempatan terbaik ialah Nafuzi," kata Sarooz Shah.
Nafuzi memiliki peranan berat bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Musim ini, Nafuzi sekali lagi membuktikan kebolehannya sebagai antara pengendali tanah air terbaik apabila membawa skuad Sang Kenari ke tangga ketiga Liga Super.
Walaupun tersingkir awal daripada Piala FA dan Piala Malaysia, ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa dia mempunyai bakat untuk menghidupkan bakat-bakat muda.
Musim lalu, jurulatih berusia 44 tahun itu pernah dikaitkan dengan jawatan pengendali skuad B-23 ketika adanya konflik antaranya dengan pihak pengurusan Terengganu FC.
Namun, FAM mengambil keputusan melantik Elavarasan sementara Nafuzi memilih untuk menyertai KDA FC dengan ia merupakan kelab yang pernah diwakilinya ketika masih bergelar seorang pemain.
Selain kedua-dua jurulatih berkenaan, terdapat beberapa calon lain yang kini digembar-gemburkan sebagai pengganti Elavarasan, termasuk pembantu kepada Pan-gon, Pau Marti Vicente serta pembantu jurulatih di Selangor FC, Nidzam Jamil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram