Ikhwan Yazek tinggalkan TRW, ada kualiti yang diperlukan Selangor dan TFC


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Teka-teki mengenai hala tuju Ikhwan Yazek masih menghantui rata-rata penyokong Kelantan FC ketika ini. — Bernama

PERKHABARAN kurang menyenangkan diterima penyokong skuad The Red Warriors (TRW) baru-baru ini apabila mengatakan bintang muda mereka, Ikhwan Yazek akan meninggalkan pasukan berkenaan.

Meskipun tidak beraksi dengan kerap akibat isu kecederaan, penyerang sayap tersebut memiliki potensi cukup baik bagi menjadi seorang pemain berkualiti.

Namun, dengan masalah pengurusan yang dialami Kelantan FC, ubi muda berusia 23 tahun itu dikhabarkan bakal mencari angin baharu untuk musim akan datang.

Ura-ura itu berpunca daripada hantaran di InstaStory peribadinya pada Khamis dengan dia menulis 'Terima kasih TRW' disertakan sekeping fotonya yang disunting.

Sejak dimuat naik, ia sudah ditangkap layar sebahagian besar penyokong kelab Pantai Timur terbabit yang cukup sukar untuk menerima berita itu.

Bagaimanapun, kisah lain pula timbul apabila wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengatakan destinasi baharu Ikhwan sudah dikenal pasti.

WhatsApp Image 2023-09-22 at 12.01.33

Tangkap layar daripada ciapan Zulhelmi mengenai penghijrahan Ikhwan dari Kelantan FC.

"Ikhwan Yazek ucap selamat tinggal, tamatkan kontrak lebih awal bersama Kelantan menerusi persetujuan bersama.

Difahamkan, ada tawaran daripada sebuah pasukan Pantai Timur dan sebuah pasukan Lembah Klang untuk musim depan," ciapnya menerusi Twitter peribadinya.

Meskipun kelab berkenaan tidak disahkan, peminat bola sepak tanah air berpendapat pasukan Liga Super yang terbaik buatnya adalah Selangor FC atau Terengganu FC.

Ia boleh dianggap sebagai satu tekaan awal, namun struktur kewangan serta prestasi kelab musim ini menjadi tarikan untuknya menyambung karier.

Bagi skuad Gergasi Merah, mereka yang kini berada di tangga kedua Liga Super mempunyai peluang cerah untuk beraksi di pentas Asia musim depan.

Selain itu, prospek untuk beraksi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe pastinya sukar untuk ditolak Ikhwan yang masih belum menampilkan bakatnya di tahap tertinggi.

Perkara sama turut dilihat sekiranya dia menyertai Terengganu FC apabila mereka kini sudah menemui rentak konsisten di bawah Tomislav Steinbruckner.

WhatsApp Image 2023-09-22 at 14.53.32

Peluang menyertai Selangor FC atau Terengganu FC pasti sukar ditolak Ikhwan. Bernama

Kecenderungan ketua jurulatih kelahiran Croatia itu untuk menggunakan pemain muda sudah tentunya sukar ditolak pemain sayap Kelantan FC berkenaan.

Persoalannya, dengan isu kecederaan dialami Ikhwan musim ini, mengapakah Terengganu FC mahupun Selangor FC tertarik untuk mendapatkannya?

Melihat kepada usianya yang baru sahaja berusia 23 tahun, terdapat kemungkinan kedua-dua kelab boleh membawanya masuk tanpa perlu membuat satu penawaran gaji terlalu tinggi.

Selain itu, dalam saingan Liga Super musim ini, Ikhwan sudah merekodkan satu bantuan jaringan dalam lima penampilan, iaitu ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Hantaran jarak jauh yang dibuatnya kepada Ismahel Akinade menerima pujian ramai apabila bintang Manchester City, Kevin de Bruyne sempat melabelnya sebagai bertaraf dunia.

Jadi, kedua-dua sebab itu sudah cukup untuk memperkuatkan kedua-dua pasukan Liga Super tersebut sekiranya mereka berjaya mendapatkan khidmat Ikhwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram