'See you again', mesej tersirat jadi klu bintang muda akan tinggalkan TRW


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Skuad TRW sering memberikan peluang buat bakat-bakat muda dalam Liga Super musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

SALAH satu rahmat yang masih boleh dilihat penyokong Kelantan FC musim ini adalah apabila pasukan mereka berjaya menghasilkan beberapa bintang muda.

Perkara terbabit bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan sejak awal lagi, kelab Pantai Timur tersebut sudah meletakkan harapan buat pemain kurang berpengalaman.

Ikhwan Yazek, Fazrul Amir Zaman dan Muhaimin Izuddin merupakan antara yang boleh diletakkan dalam kategori itu dengan ia merupakan musim debut mereka dalam Liga Super.

Meskipun tidak mencatatkan statistik mengagumkan, persembahan masing-masing setiap kali diturunkan masih boleh diberikan pujian.

Memasuki pertengahan musim, kehilangan pemain senior menyaksikan lebih ramai ubi-ubi muda dibawa masuk barisan kejurulatihan The Red Warriors (TRW) daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mereka.

20230505_ikhwan_yazek_Ikhwan_Yazek_fb

Ikhwan Yazek mencipta nama bersama skuad TRW musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Antara yang dipanggil untuk mewakili pasukan Liga Super Kelantan FC ialah penjaga gol, Johan Shahzidane Tendot serta penyerang muda, Harith Akif Shahar.

Kesemua mereka boleh dianggap sebagai bidan terjun buat kelab Pantai Timur terbabit, namun masih mampu berbangga apabila persembahan masing-masing semakin bertambah baik.

Bagaimanapun, isu kewangan yang dihadapi Kelantan FC seakan-akan menjadi satu ancaman buat ubi-ubi muda terbabit apabila pasukan-pasukan Liga Super lain pasti akan tertarik untuk menyambar khidmat mereka.

Melihat kepada gosip perpindahan sebelum ini, Ikhwan Yazek dan Muhaimin Izzudin merupakan antara yang dikatakan bakal mencari angin baharu pada penghujung musim 2023.

Kehilangan salah seorang pemain itu pasti menjadi satu tamparan buat skuad TRW pada tahun akan datang dengan sumbangan masing-masing amat ditagih.

WhatsApp Image 2023-09-15 at 16.17.46

Mesej antara Muhaimin serta Ikhwan mencipta pelbagai spekulasi.

Namun, dalam satu perkembangan baru-baru ini, terdapat kemungkinan mimpi ngeri itu akan menjadi realiti apabila terdapat desas-desus bahawa mereka akan berhijrah.

Ia berikutan satu komen tersirat daripada Muhaimin di akaun TikTok Ikhwan yang kini mula dikongsikan penyokong TRW di laman media sosial.

'See u again' tulis Muhaimin ringkas sebelum Ikhwan hanya menjawab 'Goodluck Mi' dengan ia seperti mengukuhkan bahawa perpisahan akan berlaku dalam masa terdekat.

Meskipun pemain yang bakal meninggalkan Kelantan FC masih belum dikenal pasti, kehilangan salah seorang daripada mereka bakal menjadikan masa depan pasukan lebih malap.

2058245 (1)

Muhaimin diturunkan dalam sebahagian besar perlawanan Liga Super Kelantan FC musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Awal musim lalu, Ikhwan merupakan antara tonggak bersama bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik sebelum dia terpaksa direhatkan akibat isu kecederaan.

Secara keseluruhannya, pemain berusia 23 tahun berkenaan sudah mencatatkan lima penampilan Liga Super dengan satu bantuan jaringan direkodkan.

Bagi Muhaimin pula, prestasinya yang konsisten membolehkannya diturunkan sebanyak 16 kali, namun masih tiada sumbangan di hadapan pintu gol.

Namun, kelincahannya sebagai seorang penyerang sayap merupakan antara aset utamanya yang cukup sesuai beraksi dalam skuad lebih muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram