Pernah 'berdarah' TRW, penyerang Australia kini tunjuk belang di pentas Asia


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Dimitri (kiri) kini menaikkan lagi namanya sebagai antara penyerang terbaik di benua Asia. — Agensi

KETIKA jendela perpindahan kedua Liga Super, terdapat khabar angin mengatakan Kelantan FC berminat membawa pulang bekas penyerang mereka, Dimitri Petratos.

Pemain kebangsaan Australia yang pernah bersama-sama pasukan itu pada 2013 semestinya sukar dilupakan meskipun hanya pernah menyarung jersi kelab selama semusim.

Hubungan baik itu muncul apabila Dimitri pernah membantu kempen Kelantan FA dalam kempen Piala AFC mereka setelah menjaringkan empat gol dalam tujuh penampilan.

Ura-ura itu terbit selepas difahamkan kelab Pantai Timur berkenaan berminat untuk memperkuatkan semula jentera serangan mereka dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.

Dimitri_Petratos2

Dimitri hanya meluangkan tempoh semusim bersama pasukan Pantai Timur itu.

Bagaimanapun, hasrat terbabit tidak kesampaian apabila skuad The Red Warriors (TRW) terus bergelut dengan isu kewangan yang dialami sejak awal musim.

Kegagalan Dimitri untuk pulang bersama-sama Kelantan FC pastinya tidak memberi kesan terhadap kariernya apabila dia terus beraksi dengan cemerlang.

Dia yang kini bersama kelab India, Mohun Bagan SG sejak 2022 boleh dianggap sebagai bintang buat pasukan itu yang musim lalu menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Selain itu, kehebatannya di atas padang turut dibuktikan bersama skuad kendalian Juan Ferrando terbabit yang menjulang Piala Durand dan Piala Sumbangsih India pada penghujung musim lalu.

Dimitri-Petratos

Mohun Bagan SG mengambil keputusan menyambar Dimitri pada Julai 2022. Agensi

Baru-baru ini, sumbangan Dimitri sekali lagi diraikan sebahagian besar penyokong Mohun Bagan SG selepas dia meraih dua gol dalam aksi pembukaan Piala AFC menentang Odisha FC.

Dalam perlawanan di Stadium Kalinga, India pada Isnin, pasukan Dimitri yang merupakan pelawat meraih kemenangan penting 4-0.

Sumbangannya berkenaan semestinya cukup diraikan Mohun Bagan SG apabila mereka mahu mengulangi pencapaian layak ke peringkat kalah mati seperti dilakukan pada edisi lalu.

Kehadiran Dimitri yang pernah beraksi bersama kelab-kelab sekitar Asia, termasuk Ulsan Hyundai dan Newcastle Jets pasti akan membolehkan cita-cita itu tercapai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram