Kelantan megah sedekad lalu, tunjukkan Terengganu jalan keluar Piala Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Kelantan FA pernah muncul sebagai antara pasukan terbaik pernah disaksikan dalam bola sepak tanah air.

NASIB buruk yang menimpa Kelantan FC musim ini berterusan apabila mereka tewas kepada seteru terdekat, Kelantan United FC dalam aksi MFL Challenge Cup pada Isnin.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan, skuad Kijang Hijau mendahului pada separuh masa pertama menerusi gol Ismaheel Akinade dan Dominik Balic.

Namun, pada babak kedua, skuad kendalian Ailton Silva menunjukkan taring sebenar mereka apabila menyumbat lima gol untuk memastikan keputusan akhir 7-0 berpihak kepada mereka.

Skor akhir berkenaan menyaksikan Kelantan FC dibolosi sebanyak 36 kali dalam empat perlawanan terakhir, yang mana semestinya sukar ditelan penyokong kelab terbabit.

Perasaan itu terbit memandangkan skuad The Red Warriors (TRW) sebelum ini pernah menjadi salah sebuah pasukan paling menggerunkan dalam Liga Super.

380524467_738644161608574_8692654058333363187_n

Skuad Kijang Hijau meraih kemenangan bermakna selepas menumpaskan Kelantan FC.Facebook/Kelantan United FC

Antara pencapaian terbaik pernah dicatatkan pasukan Pantai Timur berkenaan adalah apabila mereka meraih gelaran treble selepas memenangi tiga kejohanan domestik pada 2012.

Prestasi memberangsangkan mereka itu turut diteruskan pada musim berikutnya dengan kemegahan Kelantan FC dapat disaksikan dalam Piala Malaysia.

Di peringkat kumpulan, skuad yang ketika itu dikendalikan Azman Ibrahim diundi di samping Negeri Sembilan FA dan dua seteru Pantai Timur, Terengganu FA dan Pahang FA.

Bagaimanapun, kecemerlangan skuad TRW sukar dipersoalkan pada tahun berkenaan apabila mereka mengumpul lima mata daripada empat perlawanan pertama.

Ini termasuk kemenangan bermakna ke atas skuad Sang Penyu dalam aksi kedua peringkat kumpulan selepas Dickson Nwakaeme dan Zairo Anuar menjadi watak utama dalam pertembungan terbabit.

Namun, momen terbaik skuad TRW dalam kempen berkenaan adalah apabila mereka berjaya menyingkiran Terengganu FA di peringkat kumpulan.

WhatsApp Image 2023-09-19 at 14.25.15

Keunggulan skuad TRW membolehkan mereka menyingkirkan Terengganu FA 10 tahun lalu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 17 September 2013, Kelantan FA meraih tiga mata selepas menundukkan tuan rumah dengan keputusan 3-1.

Gol sendiri daripada Hasmizan Kamarodin serta jaringan daripada Indra Putra Mahayuddin dan Badhri Radzi menyaksikan skuad TRW meraih kemenangan bermakna.

Keputusan itu membolehkan mereka menamatkan saingan peringkat Kumpulan C di tangga teratas dengan Pahang FA turut layak ke peringkat kalah mati.

Kemaraan Kelantan FA diteruskan ke peringkat akhir Piala Malaysia 2013 setelah menyingkirkan Johor Darul Takzim (JDT) dengan agregat 8-5 dan ATM FA dengan keputusan 4-3 di separuh akhir.

Namun, impian mereka untuk menjulang trofi berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila tewas kepada Pahang FA di peringkat akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram