KELANTAN FC terus menjadi pasukan belasahan apabila kalah 0-7 kepada seteru mereka, Kelantan United FC (KUFC) dalam saingan suku akhir Challenge Cup di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.
Kekalahan memalukan itu menyaksikan anak buah kendalian, Angel Alfredo Vera gagal membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik pada 4 Oktober nanti.
Dalam pada itu, penyokong The Red Warriors (TRW) menyuarakan pendapat mereka kerana berasakan pasukan tersebut perlu mengambil tindakan drastik untuk kepentingan masa depan kelab itu.
KUFC membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik kedua menentang Kelantan. — Facebook/MFL
Susulan itu, penyokong mencadangkan agar Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman agar menggabungkan kedua-dua kelab tersebut menjadi satu pasukan musim depan.
Berikutan kekalahan yang memalukan dalam saingan Liga Malaysia, penyokong setia Kelantan mencadangkan empat kelebihan TRW dan Kijang Hijau bergabung dalam satu pasukan.
Dalam satu hantaran salah seorang penyokong di Facebook, Shahrul Naim AT berasakan sokongan padu dan faktor kewangan yang kukuh merupakan antara penambahbaikan yang perlu diambil oleh kedua-dua pasukan tersebut.
"Sokongan akan lebih padu daripada penyokong, kewangan akan dijana lebih kukuh. Selain itu, pihak syarikat akan lebih yakin untuk menaja pasukan serta dapat membentuk pasukan yang lebih kuat membawa nama Kelantan," katanya dalam hantaran tersebut.
Melihat kepada situasi tersebut, penyokong Kijang Merah berharap agar cadangan tersebut dapat dipenuhi demi kepentingan musim depan.
Untuk rekod, Kelantan FC hanya mencatatkan dua kemenangan, dua seri dan 17 kekalahan selepas 21 perlawanan Liga Super 2023 dengan mengutip lapan mata sahaja.
Jika dibandingkan dengan Kijang Merah yang meraih dua kemenangan, lima seri dan 14 kekalahan dengan mengutip 11 mata selepas 21 perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram