'Saya berpuas hati', Tomislav lega percaturan berani mati berjaya elak dibolosi Central Coast Mariners


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Azam Azmi antara pemain tumpuan ketika Terengganu berjaya menewaskan Central Coast Mariners pada Rabu. — Facebook/Terengganu FC

TOMISLAV Steinbruckner menyatakan kelegaannya mengemudi Terengganu FC mengutip tiga mata ketika membuka kempen Kumpulan G, Piala AFC, pada Rabu.

Malah, percaturan berani ketua jurulatih skuad Peteh itu untuk mempertaruhkan empat tonggak tempatan masih mampu memastikan kekebalan di benteng pertahanan ketika berdepan Central Coast Mariners, lapor Stadium Astro.

"Adalah manis untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama dan demi kebaikan perlawanan masa akan datang.

"Kami mungkin beraksi lebih baik dalam perlawanan terdahulu tetapi sebagaimana Selangor, seteru (kelab dari Australia itu) juga hebat dalam mengatur serangan dan kami juga bernasib baik kerana pihak lawan tidak menemui penyudah selain kecekapan Suhaimi Husin.

"Saya seharusnya berpuas hati kerana mereka adalah tonggak tempatan dan ada yang masih lagi mentah seperti Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan selain Arif Fadzilah Abu Bakar yang jarang diturunkan musim ini," katanya selepas perlawanan di Staidum Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu.

Biarpun memperoleh gol kemenangan melalui jaringan sendiri Nathan Paull dalam masa kecederaan separuh masa pertama, Steinbruckner menganggap hanya kelebihan fizikal menyekat mereka daripada mencetak kemenangan lebih selesa.

"Sejujurnya saya kurang berpuas hati dengan prestasi babak pertama. Kami terlalu memberi ruang kepada Marco Tulio di bahagian tengah.

"Jadi ketika rehat saya menuntut pemain agar lebih berdisiplin dalam soal taktikal, kami beraksi lebih baik selepas itu dan kami mencipta banyak hantaran lintang. Cuma fizikal lebih besar Central Coast Mariners menjadi penghalang kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram