[VIDEO] Cipta sejarah pengadil pertama guna VAR, Nazmi Nasaruddin buat Dion Cools tersenyum


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Nazmi ketika menggunakan VAR dalam perlawanan ACL di antara Buriram United dan Zhejiang pada Rabu.

PEMAIN kacukan Malaysia-Belgium, Dion Johan Cools menampilkan aksi memukau dalam penampilan pertamanya di AFC Champions League (ACL) bersama Buriram United pada Rabu.

Kapten skuad kebangsaan itu diturunkan dalam kesebelasan utama Buriram United berjaya menewaskan pasukan dari China, Zhejiang Professional FC dengan keputusan 4-1 di Stadium Chang Arena, Buri Ram, Thailand.

Cools yang dinobatkan sebagai antara pemain pertahanan terbaik Asean dalam Liga Thailand itu hanya dibolosi satu gol selepas Pansa Hemviboon menyepak betis Leonardo Souza (Zhejiang) dalam kotak penalti.

Apa yang lebih menarik lagi ialah sepakan penalti itu dihadiahkan menerusi penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin.

Ketika ini, Nazmi antara pengadil terbaik yang ada dalam negara selepas dia turut menjadi calon utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dihantar ke Piala Dunia 2026 nanti.

Dalam perlawanan itu, Nazmi bertindak melayangkan empat kad kuning dan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-22 permainan.

Nazmi Nasaruddin

Nazmi (tiga dari kanan) antara individu terawal dilengkapi dengan pengetahuan mengenai VAR.

Ia selepas pemain pertahanan Zhejiang menarik baju penyerang Buriram serta menjatuhkannya dalam kotak penalti.

Kemenangan Buriram United itu sekali gus memberikan tiga mata penuh buat Dion Cools dan rakan-rakannya untuk menghuni tangga teratas Kumpulan H.

Manakala wakil dari Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) berada di kedudukan ketiga Kumpulan I selepas tewas tipis 0-1 di tangan Kawasaki Frontale di hadapan ribuan penyokong sendiri pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram