'Sebab nak kekal status', Sang Kenari diharap benam skuad Aidil Sharin demi jaga air muka


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Barisan pemain Kedah ketika sesi latihan menentang The Cats pada Selasa. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih berpeluang untuk mendapatkan trofi musim ini menerusi kejohanan Challenge Cup yang dianjurkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan melibatkan sebanyak lapan pasukan Liga Malaysia (Liga M).

MFL Challenge Cup 2023 merupakan platform dan peluang kedua untuk lapan kelab yang tidak layak ke perlawanan suku akhir Piala Malaysia yang mana mereka akan terus berentap bermula di peringkat suku akhir kejohanan berkenaan.

Dengan kesempatan berkenaan, ramai penyokong Hijau Kuning mula menyimpan hasrat agar skuad kendalian Nafuzi Zain akan menggunakan peluang itu sebaiknya bagi menebus kekalahan dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA musim ini.

Perjuangan Piala Malaysia bagi skuad berpangkalan di Kedah tersebut terhenti pada pusingan ke-16 terbaik yang mana Sang Kenari dimalukan di tangan Perak FC selepas tewas 3-4 secara agregat kepada The Bos Gaurus (TBG).

Untuk saingan Piala FA pula, pasukan Sang Kenari tersungkur di pusingan pertama kejohanan tersebut apabila skuad Hijau Kuning itu tewas 3-4 kepada Penang (PFC) melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan yang cukup sengit di Stadium Darul Aman.

Penyokong berpendapat perlawanan MFL Challenge Cup 2023 ini juga bukan hanya untuk menebus kekalahan untuk dua kejohanan berprestij itu, malah boleh menjadi medium untuk menyelamatkan air muka Kedah sebagai salah sebuah pasukan gergasi tanah air.

nafuzi zain

Nafuzi berharap agar pasukannya berpeluang untuk mendakap piala MFL Challenge Cup 2023. — Facebook/KDAFC

"Kedah wajib juara piala ini sebab nak jaga status," kata penyokong Sang Kenari, Pak Su Fadzil.

"Nafuzi ini bijak. Tidak bersungguh dalam Piala Malaysia. Kalau menang akan bertemu JDT (Johor Darul Takzim) di separuh akhir. Lagi penyokong mengamuk kalah masa itu. Jadi fokus Challenge Cup, peluang ada untuk dapat piala tahun ini. Penyokong gembira, pengurusan riang. Cuma jangan kalahlah. Pastikan dapat piala," tambah penyokong Hijau Kuning, Nasih Munzir.

Oleh itu, skuad bimbingan Nafuzi itu kini pasti sedang memberi fokus sepenuhnya untuk meraih kemenangan ke atas Kuching City FC ketika berkunjung ke tempat lawan bagi memastikan mereka membawa bekalan selesa ke Darul Aman pada 4 Oktober nanti.

Walaupun di atas kertas skuad The Cats adalah lawan mudah namun pengalaman jurulatih mereka iaitu Aidil Sharin Sahak yang pernah membimbing Kedah pasti mempunyai muslihat tersendiri untuk menewaskan bekas kelabnya itu.

Aidil Sharin dilantik selaku ketua jurulatih Kuching City bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti Abu Salim selepas meletakkan jawatan pada Ogos lalu dan akan dibantu oleh dua jurulatih tempatan iaitu Firdaus Morshidi dan Zulkarnien Poasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram