Luqie is back? 3 kelab boleh jadi destinasi kepulangan Luqman Hakim pada musim 2024


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Luqman dicadangkan untuk kembali ke tanah air untuk mengumpul minit permainan dengan lebih kerap.

PERSEMBAHAN kurang kemas ketika kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) awal September lalu daripada penyerang muda, Luqman Hakim Shamsuddin mencuri perhatian ramai.

Selepas pernah digelar antara bakat paling cerah negara, pemain berkenaan memilih untuk mencuba nasib di luar negara apabila menyertai kelab Belgium, KV Kortijk pada 2020.

Bagaimanapun, selepas hampir tiga tahun di Eropah, anak jati Kota Bharu, Kelantan berkenaan hanya meraih tiga penampilan bersama skuad senior pasukan.

Jadi, dalam usaha mendapatkan minit permainan, Luqman memilih untuk mencari angin baharu dalam kariernya apabila bersetuju untuk dipinjamkan ke kelab Liga 2 Iceland, Njardvik FC.

Ia bagaimanapun masih tidak membuahkan hasil terbaik apabila pemain berusia 21 tahun berkenaan masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan konsisten.

2059903

Luqman Hakim kini dipinjamkan ke kelab Iceland, Njardvik FC sejak pertengahan musim lalu.

Kesannya dapat disaksikan dalam penampilannya bersama skuad B-23 negara sehingga peminat terus mempertikaikan tahun-tahunnya di Eropah.

Bagi peminat, cadangan terbaik untuk Luqman mendapatkan semula rentaknya di atas padang adalah dengan kembali mewarnai Liga Super bersama mana-mana pasukan.

Pandangan itu seakan-akan sudah didengari pihaknya apabila bertebaran khabar angin di media sosial mengatakan dia bakal mengambil tindakan terbabit.

"Dikhabarkan Luqman Hakim akan membuat keputusan seperti mana yang netizen Malaysia mahukan. Lihat dan nantikan pada musim 2024," tulis pengguna Twitter, One Football My.

Meskipun tidak disebutkan destinasi untuk pemain terbabit, mana-mana pasukan pastinya tidak akan mahu melepaskan peluang membawa masuk pemain dengan pengalaman sepertinya.

Berdasarkan kelab-kelab Liga Super, Majoriti menyenaraikan tiga destinasi terbaik buat Luqman untuk menghidupkan semula kariernya.

1. Selangor FC

Selepas menamatkan tahun pengajiannya bersama Akademi Mokhtar Dahari, Luqman memilih untuk menyertai gergasi Liga Super, Selangor FC pada Mac 2020.

Keputusan berkenaan dibuat memandangkan kelab Lembah Klang itu mempunyai reputasi cukup baik dalam menaikkan bakat-bakat tanah air.

Meskipun hanya beraksi bersama skuad simpanan, pemain tersebut pasti sudah mengenali profil skuad Gergasi Merah sebagai antara pencabar takhta Liga Super.

lukman-hakim

Selepas meninggalkan AMD, Luqman Hakim dibawa masuk ke Selangor FC.

Di samping itu, kemasukannya akan memberi peluang buatnya sekali lagi bergandingan di samping bekas jurulatihnya, Tan Cheng Hoe yang pernah membimbingnya dalam skuad kebangsaan.

Ia sudah tentu akan menjadi satu lagi sebab buat Luqman kembali menyarung jersi Selangor FC dengan keputusan itu diharapkan mampu menghidupkan semula kariernya.

Namun, terdapat satu kekhuatiran sekiranya penyerang terbabit menyertai skuad Gergasi Merah memandangkan pasukan berkenaan kerap meletakkan harapan terhadap pemain import.

Lambakan pilihan musim ini antara Ayron del Valle dan Richmond Boakye dilihat hanya akan menyulitkan harapan Luqman untuk mendapatkan minit permainan dengan lebih kerap.

2. Perak FC

Ketika skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim awal musim lalu, terdapat harapan untuk menyaksikan Luqman Hakim menyertai kelab Utara tanah air berkenaan.

Ia selepas melihat kedua-dua individu terbabit pernah bergandingan semasa jurulatih itu masih bergelar Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Tetapi, selepas prestasi tidak menentu yang dipamerkan Perak FC di bawah kendalian Teong Kim, pihak pengurusan kelab bertindak menggugurkannya.

Ia sekali gus menutup pintu buat kemasukan Luqman ke skuad TBG memandangkan tiada punca kukuh untuknya meneruskan karier bersama pasukan terbabit.

379498472_320574393856276_786369114289419262_n

Kemasukan Luqman Hakim mampu meningkatkan kebolehan jentera serangan skuad TBG. Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, melihat kepada pemain Perak FC ketika ini, terdapat kemungkinan besar untuk pasukan itu kembali cuba mendapatkan khidmatnya.

Di bawah kendalian Yusri Che Lah, pasukan berkenaan kerap memberikan peluang buat pemain muda, termasuk Nik Umar Nik Aziz dan T Shaheeshwaran.

Sekiranya mereka mahu meneruskan pendekatan sebegitu, kehadiran Luqman yang masih muda boleh dianggap sebagai satu penambahan cukup sesuai.

Namun, pengalaman buruk selepas membawa masuk penyerang yang pernah berkelana di luar negara, Hadi Fayyadh Abd Razak akan memberikan satu pandangan skeptikal buat pihak pengurusan Perak FC.

3. Terengganu FC

Seperti dikatakan di atas, Luqman Hakim merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan sebelum dia memulakan karier dalam bola sepak bersama AMD.

Faktor berkenaan akan membuatkannya lebih cenderung untuk kembali ke tanah kelahirannya bagi membolehkannya berada lebih dekat dengan keluarganya.

Tetapi, melihat kepada situasi Kelantan FC dan Kelantan United FC musim ini, penyerang terbabit semestinya tidak akan tertarik untuk kembali ke Liga Super.

Bagaimanapun, masih terdapat sebuah pasukan berpangkalan di Pantai Timur yang masih sesuai untuk menyambut kepulangan Luqman Hakim ke tanah air.

378851330_295496333191808_1538241187680472865_n

Lambakan pemain muda akan memudahkan Luqman Hakim untuk menyesuaikan diri. Facebook/Terengganu FC

Terengganu FC yang ketika ini berada di tangga keenam Liga Super dilihat sedang menunjukkan transformasi positif di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner.

Meskipun bergelut pada awal musim, jurulatih kelahiran Croatia terbabit berjaya memberi nafas baharu buat finalis Piala FA 2022 berkenaan.

Salah satu langkah yang diambilnya adalah dengan memberikan peluang lebih kerap buat pemain muda, seperti Safwan Mazlan, Syafik Ismail serta Engku Nur Shakir.

Ia menjadi satu gambaran bahawa skuad Sang Penyu merupakan salah sebuah destinasi ideal buat Luqman Hakim dengan dia berpeluang beraksi di samping pemain-pemain muda.

Namun, kecemerlangan penyerang import, Ivan Mamut akan menyulitkan hasratnya untuk menyertai Terengganu FC memandangkan terdapat kemungkinan untuknya kekal bersama kelab itu musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram