Azam Azih perlu cemas andai bintang Sabah, Perak dan JDT pilih sertai Pahang


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Status Azam Azih sebagai seorang legenda skuad Tok Gajah sukar untuk dipertikaikan. — Facebook/Sri Pahang FC

KETIKA di kemuncak kariernya, pemain tengah negara, Nor Azam Azih sering diangkat sebagai antara yang terbaik dalam posisinya itu.

Hantarannya yang sering mengelirukan pihak lawan merupakan salah satu sebab orang ramai cukup tertarik dengan kehadirannya di atas padang.

Selain itu, kebolehan Azam untuk melakukan percubaan dari luar kotak juga cukup menarik, lebih-lebih lagi ketika pasukannya ketinggalan.

Jadi, tidak hairanlah apabila namanya sering berada dalam senarai untuk aksi Harimau Malaya dengan barisan kejurulatihan pasukan cukup mendambakan kebolehannya.

Di peringkat kelab pula, sentuhan pemain berusia 28 tahun berkenaan amat diperlukan bersama Sri Pahang FC, yang mana merupakan satu-satunya kelab yang pernah diwakilinya.

1794633

Azam bergelut dengan isu prestasi beberapa musim kebelakangan ini. Facebook/Sri Pahang FC

Ini termasuk ketika skuad Tok Gajah menjulang Piala FA 2018 dengan Azam menjaringkan gol di peringkat akhir, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara bintang bersama pasukan Pantai Timur berkenaan.

Bagaimanapun, dalam beberapa musim kebelakangan ini, prestasinya mula dipersoalkan orang ramai dengan mereka berasakan pemain tersebut sudah tidak sehebat dulu.

Ia dapat dibuktikan apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah tidak memanggilnya untuk perlawanan persahabatan apabila tempatnya sudah diisi pemain lain.

Sekiranya tiada peningkatan ketara dari segi permainan Azam dalam Liga Super, terdapat kemungkinan tempatnya bersama Sri Pahang FC akan turut terkesan.

Keadaan tersebut turut diburukkan lagi sekiranya skuad Tok Gajah berjaya menyambar beberapa pemain tengah yang memiliki kebolehan sepertinya.

Melihat kepada gaya permainan serta struktur kewangan pasukan, terdapat tiga pemain yang bakal menggugat tempat Azam sekiranya dibawa masuk pada jendela perpindahan akan datang.

1. Nazmi Faiz Mansor

Musim ini, Sri Pahang FC memperkukuhkan skuad mereka dengan membawa masuk empat pemain daripada Johor Darul Takzim (JDT) ketika jendela perpindahan pertama Liga Super.

Syazwan Andik, Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq masing-masing difahamkan tiba secara pinjaman sementara penjaga gol, Izham Tarmizi hadir dengan kontrak kekal.

Jadi, terdapat kemungkinan pendekatan sebegitu akan diambil sekali lagi dengan salah seorang pemain yang mungkin disambar ialah Nazmi Faiz Mansor.

Bekas pemain muda kebangsaan tersebut dilihat terlalu sukar untuk menembusi skuad utama Harimau Selatan dengan dia terpaksa merebut posisi itu dengan pemain import.

2193353

Terdapat kemungkinan Nazmi Faiz akan meninggalkan JDT secara pinjaman. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Musim ini, pemain berusia 29 tahun terbabit hanya mengumpul dua penampilan Liga Super dengan kedua-duanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Oleh itu, sekiranya JDT melihat terdapat keperluan untuk Nazmi Faiz berhijrah, terdapat kemungkian Sri Pahang FC merupakan destinasi terbaik buatnya.

Kebolehannya untuk mengawal tempo permainan serta melakukan percubaan dari luar kotak akan memberi tentangan hebat buat Azam dalam kesebelasan utama.

2. Gary Steven Robbat

Selepas menghabiskan hampir keseluruhan karier dalam skuad simpanan JDT, Gary Steven Robbat memilih untuk menghidupkan semula kariernya dalam Liga Super.

Jadi, setelah mencuba nasib di Melaka United pada 2021, pemain kelahiran Kulim, Kedah itu mengambil keputusan kembali bergandingan dengan bekas jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee di Sabah FC.

Langkah tersebut sememangnya cukup tepat untuk jeneral berusia 31 tahun berkenaan apabila dia mula meraih kepercayaan daripada penyokong skuad Sang Badak.

Kebolehannya untuk mematahkan serangan pihak lawan dengan melakukan kekasaran merupakan antara aset utama buat Gary yang cukup berpengalaman dalam Liga Super.

298487073_1001840057159722_2148088739059736447_n

Karier Gary kembali meningkat sejak menyertai skuad Sang Badak. Instagram/Gary Steven Robbat

Tetapi, musim ini, pemain terbabit lebih kerap disisihkan daripada kesebelasan utama akibat masalah kecederaan yang dialaminya.

Selain itu, kehadiran import kelahiran Brazil, Telmo Castanheira di posisinya menyaksikan tempatnya dalam skuad semakin terhad dengan dia hanya meraih 11 penampilan Liga Super musim ini.

Jadi, sekiranya Sri Pahang FC berminat untuk meletakkan Gary sebagai pemain tengah baharu mereka, ia akan turut memberi tekanan buat Azam Azih.

Pengalaman yang dimilikinya selain kebolehannya untuk mematahkan serangan dilihat akan menjadi ancaman dengan Azam masih bergelut untuk beraksi dengan cemerlang dalam aspek terbabit.

3. Faris Izdiham

Antara pendekatan paling konsisten yang diambil Perak FC musim ini adalah apabila mereka sering meletakkan ubi muda dalam kesebelasan utama.

Pemain tengah, Faris Izdiham merupakan salah seorang yang berada dalam kategori itu setelah dia mempamerkan bakatnya bersama skuad Projek FAM-MSN dalam Liga Perdana.

Musim ini, pemain berkenaan sudah diturunkan sebanyak lapan kali dalam kesemua pertandingan buat skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan enam daripadanya hadir dalam Liga Super.

Walaupun statistik itu dilihat kurang memuaskan, peluang yang terhad berpunca daripada kecederaan jangka masa panjang yang dialaminya.

1972867 (1)

Faris bergelut dengan isu kecederaan musim ini. Facebook/Perak FC

Namun, sejak pulih sepenuhnya, pemain berusia 22 tahun itu sudah menerima kepercayaan daripada ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.

Kebolehannya untuk melakukan hantaran merupakan antara sebab kehadirannya cukup didambakan dengan penyokong kelab itu turut menghargai kelibatnya.

Ciri-ciri permainannya itu dilihat cukup sempurna untuk menggantikan Azam Azih yang berdepan isu prestasi bersama Sri Pahang FC.

Jika kelab Pantai Timur terbabit mengambil keputusan sebegitu, kehadiran anak jati Maran, Pahang terbabit pastinya akan tergugat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram