SEJAK ketiadaan Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez akibat kecederaan, perhatian kini lebih tertumpu ke arah Bergson da Silva sebagai penyerang berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT).
Dalam perlawanan peringkat kumpulan I AFC Champions League (ACL) menentang Kawasaki Frontale pada Selasa, pemain kelahiran Brazil itu gagal menjaringkan gol untuk membantu Harimau Selatan sekurang-kurangnya mengutip satu mata di halaman sendiri.
Meskipun JDT mempunyai lebih banyak 'shots' berbanding Kawasaki, namun ketangkasan Jung Sung-ryong berjaya mengagalkan percubaan Bergson untuk membolosi gawang gol pasukan lawan.
Disebabkan itu, penyokong Harimau Selatan mula merindui bisa Bergson semasa awal kemasukannya bersama JDT pada 2021.
Jonathan Herrera.
Untuk info, Bergson menyertai JDT bagi menggantikan Jonathan Herrera yang dipinjamkan ke kelab Argentina, CA Independiente sebaik sahaja baru menyertai Harimau Selatan pada 2021.
Bercakap mengenai prestasi semasa Bergson, mengikut 'track' rekod sejak dia mula menyertai JDT tidak menunjukkan perbezaan yang amat ketara.
Pada musim 2021, Bergson telah menjaringkan 23 gol serta berjaya melakukan tiga bantuan jaringan (assist) dalam 20 perlawanan Liga Super yang mana dia turut mencatatkan dua hatrik ketika menentang Perak dan Sri Pahang FC.
Musim lepas, Bergson bangkit mengganas merampas takhta penjaring terbanyak Liga Super selepas berjaya merekodkan 29 gol dan tujuh assist dalam 19 perlawanan.
Hanya dua perlawanan pusingan pertama Liga Super 2022 menentang Melaka United dan Negeri Sembilan Bergson gagal menjaringkan gol.
Bergson menjaringkan 90 gol bersama JDT sejak 2021.
Jumlah kesuluruhan gol Bergson dalam Liga Super untuk dua musim sebelum ini ialah 52 gol dalam 39 perlawanan ia merupakan satu rekod yang baik sebagai pilihan kedua JDT selepas pemergian Herrera.
Tahun ini, Forestieri lebih menonjol selepas dia mengambil peluang di atas kecederaan Bergson awal musim.
Namun Bergson kembali bangkit menjaringkan 15 gol serta lima assist dalam 17 perlawanan terakhir Liga Super sekali gus ia membuktikan penyerang berusia 32 tahun itu masih berbisa sebagai pilihan utama Esteban Solari.
Tetapi timbul persoalan, adakah Bergson mampu mengekalkan status sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini selepas penyerang Selangor FC, Ayron del Valle mendahului carta itu dengan 21 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram