Umar Osman bakal sertai Azeem Fahmi lebarkan sayap ke Amerika Syarikat


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Umar Osman akan menyertai Azeem Fahmi di Amerika Syarikat. — The Star/Faihan Ghani

KEM olahraga negara menerima suntikan semangat apabila salah seorang atletnya disunting sebuah universiti di Amerika Syarikat supaya bakatnya boleh diasah dengan lebih tajam di sana.

Pelari jarak pertengahan negara, Umar Osman menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Auburn University dan dia akan menyertai jagoan pecut, Azeem Fahmi yang telah berada di sana.

Berita ini nyata membawa angin positif buat kancah olahraga negara selepas persembahan Umar dalam sebuah kejohanan di China menarik perhatian wakil Auburn University.

Sebelum ini, Umar telah mencuri perhatian apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam ketika beraksi di kejohanan World University Games di Chengdu, China dalam acara 400 meter pada Ogos lalu.

Umar memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 46.34 saat kepada 46.33 pada pusingan saringan sebelum mencatatkan masa 46.09 saat ketika di peringkat separuh akhir.

On track: Umar Osman (left) with Singapore Sports School students after training on Sept 19. - Pic courtesy of Simon Lau.

Umar (paling kiri) berlatih bersama-sama Simon bagi persiapan Sukan Asia. — Simon Lau

Menurut jurulatih Umar, Simon Lau Chin Meng, tawaran ini cukup baik untuk pelari tersebut dan ia akan meningkatkan kualitinya sebagai pelari jarak pertengahan.

Lebih menarik, Umar akan menerima biasiswa sepanjang tempohnya berada di Auburn University.

"Saya menerima maklumat daripada pegawai Majlis Sukan Negara (MSN). Saya harap ada aturan dilakukan oleh MSN dan Kesatuan Olaharaga Malaysia (KOM) untuk membantu Umar berlatih di Amerika Syarikat.

"Saya turut diberitahu yang Umar ditawarkan 60 peratus biasiswa tetapi saya percaya MSN dan KOM ada perancangan untuknya," kata Simon.

Walaupun bakal dilatih oleh pengendali lebih baik selepas ini, Simon berkata dia masih mengharap namanya akan dikekalkan untuk membimbing Umar sehingga tamat Sukan Asia di Hangzhou, China.

Hal ini kerana masa semakin hampir bagi pelari itu bertanding dan cuba mengharumkan nama negara di temasya sebesar Sukan Asia.

"Saya telah meminta untuk membimbing dia hinggalah Sukan Asia. Ia adalah satu perpindahan yang baik untuknya berlatih di Amerika Syarikat.

"Umar kini sedang berlatih dengan baik dan berita peluang berlatih di Amerika Syarikat akan memotivasikan dirinya untuk beraksi cemerlang di Hangzhou kelak," ujar Simon.

Sebagai rekod, Umar telah berlatih bersama-sama Simon sejak dari bulan Jun 2023. — The Star/K. M. Boopathy

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram