Isu gaji: Ejen boleh bertegas, tapi apa tindakan ke atas pemilik kelab?


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Rata-rata pemain skuad Ngap Sayot mendedahkan mereka masih menuntut gaji daripada pihak pengurusan kelab. — Facebook/SUFCFC

MASALAH gaji antara isu yang sukar untuk diselesaikan dan sehingga kini masih ada beberapa pemain kekal tabah dalam memperjuangkan hak untuk mendapatkan saki baki pendapatan mereka walaupun ikatan antara mereka dan kelab sudah terlerai.

Seperti baru-baru ini, bekas penjaga gol Sarawak United FC (SUFC), Tauffiq Ar-Rasyid Johar membuat satu hantaran di Instagram peribadinya apabila mempersoalkan mengenai bayaran gaji dengan kelab tersebut sama ada tunggakan berkenaan sudah diselesaikan ataupun tidak.

"Setahun dah ni. Takkan sabar lagi? Mana janji, mana gaji?" soalnya sambil menyertakan logo Sarawak United dalam persoalan ringkas berkenaan.

SS GAJI

Tangkap layar daripada keluhan yang dibuat Tauffiq di laman Instagram peribadinya.

Rentetan masalah gaji yang masih tidak jumpa titik nokhtah itu, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa situasi tersebut boleh dielakkan sekiranya para pemain mempunyai ejen untuk menguruskan hal mereka dengan pihak pengurusan.

Berdasarkan statistik yang diberikan oleh sumber Majoriti, sebanyak 60 peratus pemain Liga Malaysia (Liga M) sudah mempunyai ejen sendiri untuk menjadi orang tengah antara mereka dengan kelab.

Mengulas mengenai sama ada bola sepak domestik perlu membudayakan ejen bagi setiap pemain, pemerhati tanah air, Dr Pekan Ramli bersetuju bahawa ia boleh mengurangkan isu-isu seperti kegagalan pasukan membayar gaji hingga berbulan-bulan dan permasalahan pemain menandatangani kontrak.

"Saya sangat setuju jika kita membudayakan ejen bola ini membabitkan semua pemain sama ada import atau tempatan supaya proses pembelian pemain, kontrak pemain, peminjaman pemain, kebajikan pemain, pemilihan pasukan yang tepat dan terjamin.

"Ini sudah pasti dapat mengurangkan isu-isu yang berlaku sekarang, kegagalan pasukan membayar gaji hingga berbulan-bulan, permasalahan pemain menandatangani kontrak atau berbincang dengan pasukan lain sebelum tempoh sebenar yang dibenarkan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, bagi pemerhati sukan tempatan, Zulakbal Abd Karim pula mempersoalkan sama ada peranan ejen berkemampuan untuk menggesa pihak pengurusan untuk membayar saki baki gaji seperti situasi menimpa pemain SUFC itu.

Menurutnya, daripada meminta ejen untuk memainkan peranan, adalah lebih baik jika pihak berwajib mengambil tindakan terhadap pemilik kelab yang mengambil enteng isu kebajikan pemain.

"Saya rasa ejen perlu bertegas tapi setakat mana dia boleh bertegas dan apa tindakan dia boleh buat? Saya fikir bukan hanya ejen tapi pihak pengurusan perlu bertegas untuk memandang serius perkara ini. Mana-mana pasukan perlu diberi tindakan tegas termasuk kepada pemilik kelab dan sebagainya.

"Setakat ini saya tak nampak atau mungkin saya sendiri yang tidak cakna situasi pemilik kelab diambil tindakan. Kelab hanya dipotong mata tapi pemilik kelab tiada diambil tindakan. Sebab itu semua pemilik kelab bersenang-lenang teruskan perangai macam itu sebab tahu tindakan tidak akan diambil," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram