Tiga bintang Central Coast Mariner jadi tumpuan bertemu Terengganu FC


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Joshua (kiri) merupakan nadi utama kepada bahagian tengah Central Coast Mariners. — Facebook/CentralCoastMariners

TERENGGANU FC akan membuka aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC dengan menentang kelab dari Liga Australia, Central Coast Mariners.

Lawan pertama skuad Sang Penyu yang dikendalikan oleh bekas legenda bola sepak Johor, Abbas Saad itu bukanlah calang-calang pasukan.

Ini kerana Central Coast Mariners baru sahaja mencipta kejutan dengan menjuarai Liga Australia pada musim lalu.

2292649

Sekitar sesi sidang media pra perlawanan Piala AFC antara Terengganu FC menentang Central Coast Mariners. — Facebook/Terengganufc

Pasukan berpangkalan di Gosford New South Wales itu juga dilihat merupakan pencabar utama liga sejak tiga musim lalu apabila dengan konsisten berada di kedudukan lima teratas liga.

Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan tiga pemain Central Coast Mariners yang perlu diberikan perhatian dalam aksi yang bakal berlangsung di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu:

1. Marco Tulio

49929f4b-e156-4c62-a001-4fac57f110c1

Marco (kiri) merupakan penjaring kedua terbanyak pasukan pada musim lalu. — Agensi

Sejak mula menyertai Central Coast Mariners pada musim lalu, pemain sayap kanan kelahiran Brazil, Marco Tulio ini tidak menunggu lama untuk memastikan pengaruhnya dirasai oleh pasukan terutamanya di bahagian serangan.

Selain meletakkan diri sebagai penjaring kedua terbanyak kelab dengan sembilan jaringan, dia juga merekodkan lima bantuan gol.

Selain ketajaman di hadapan gol, antara kekuatan lain dalam permainannya adalah keupayaannya mengawal bola di ruang sempit di samping turut menghasilkan hantaran lolos yang tepat kepada rakan sepasukan.

Sebelum menyertai Central Coast Mariner, Marco yang baru berusia 25 tahun pernah beraksi bersama pasukan simpanan pasukan gergasi Liga Portugal, Sporting CP dan pernah dipinjamkan ke kelab Brazil, Centro Sportivo Alagoano.

2. Alou Kuol

ff1ec4f9bc04edaf0e82a2c482a98aa3

Aluo ketika beraksi bersama Central Coast Mariners pada musim ini. — Agensi

Aluo Kuol merupakan antara nama besar dibawa masuk oleh Central Coast Mariner bagi menggantikan penyerang utamanya pada musim lalu iaitu Jason Cummings yang memilih berhijrah ke Liga Super India.

Penyerang muda berusia 22 tahun yang pernah menjadi rebutan ini pulang kembali ke Liga Australia selepas gagal memberikan impak ketika tempoh dua tahun bersama kelab Bundesliga, VfB Stuttgart.

Dia yang beraksi bersama skuad bawah 23 tahun Australia hanya membuat dua penampilan bersama skuad utama dengan kedua-duanya sebagai pemain gantian.

Pada masa, tempohnya bersama pasukan simpanan Vfb Stuttgart menyaksikan dia hanya mencetak tujuh gol daripada 41 penampilan.

Namun, sebaik menyarung jersi Central Coast Mariner, apabila menyumbang satu gol ketika aksi pertamanya dan membantu pasukan mengikat Sydney FC 3-3 sebelum menang dalam penentuan sepakan penalti untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Australia.

Aluo yang berketingggian 1.81 meter mempunyai kebolehan untuk membuat menerusi tandukan dan rembatan kaki kanannya.

Selain itu, dia juga dilihat selesa berlari bersama bola dan membuat gerakan serangan bagi menembusi barisan pertahanan lawan dari bahagian tengah.

3. Joshua Nisbet

352797379_977500703649481_8423563021460011980_n

Joshua membuat 28 penampilan daripada 30 perlawanan yang diharungi pasukanya pada musim lalu. — Facebook/CentralCoastMariners

Dalam musim cemerlang yang diharungi Central Coast Mariners, pada musim lalu, Joshua Nibet merupakan tulang belakang yang menjadi nadi kepada bahagian tengah pasukan.

Ini dibuktikan apabila dia yang berusia 24 tahun itu diturunkan dalam 28 daripada keseluruhan 30 perlawanan bersama kelabnya.

Selain memiliki kawalan bola yang kemas, Joshua yang menyumbang dua gol pada musim lalu dilihat cukup bertenaga untuk memastikan kawalan terhadap bahagian tengah padang ketika perlawanan.

Pada masa sama, dia juga mempunyai kemahiran yang baik dan begitu efektif dalam usaha merampas bola daripada kaki pemain lawan di bahagian tengah padang dan seterusnya membina gerakan menyerang untuk mencipta peluang kepada rakan sepasukan menjaringkan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram