Yakin tewaskan Central Coast Mariners, Tomi akui TFC dalam momentum terbaik


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Sekitar sesi sidang media pra perlawanan Piala AFC antara Terengganu FC menentang Central Coast Mariners. — Facebook/Terengganufc

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui pasukannya berada dalam momentum terbaik untuk menentang kelab Australia Central Coast Mariners dalam aksi pertama Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 pada Rabu.

Berkelebihan bermain di laman sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, jurulatih kelahiran Croatia yang mesra dengan panggilan Tomi itu berkata, anak buahnya mampu melakar kejutan menewaskan skuad bimbingan Abbas Saad yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Tambahnya lagi, TFC sudah bersedia dengan strategi terbaik untuk mengutip mata pertama sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tempoh tiga bulan yang dicatat anak buahnya dalam beberapa aksi Liga Super serta Piala Malaysia.

"Perlawanan sebelum ini, kita tewas kepada JDT, itupun lebih daripada tiga bulan lepas. Ketika ini pemain dalam momentum yang baik, keyakinan pemain juga berada pada tahap yang tinggi.

"Kita selalu berdepan cabaran getir dalam perlawanan dilalui. Tapi pasukan kita akan cuba yang terbaik untuk dapatkan keputusan yang bagus ketika menentang lawan,” katanya pada sidang media pra perlawanan Piala AFC 2023 membabitkan TFC menentang Central Coast Mariners pada Selasa.

Tomi turut mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati dengan pergerakan dan ancaman jentera lawan yang memiliki kelebihan dari aspek fizikal yang lebih tinggi dan besar.

Sementara itu, Abbas berkata, Central Coast Mariners yang berpangkalan di Gosford, Australia telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan Piala AFC sejak dua bulan lepas.

Menurut Abbas, barisan kejurulatihannya juga mengkaji corak permainan skuad Penyu bagi mengenal pasti kelemahan serta kekuatan lawan mereka.

"Terengganu adalah pasukan yang hebat dan layak berada dalam saingan Piala AFC. Tapi, kami juga pasukan yang hebat, kami muncul naib juara liga kami tahun lepas dan akhirnya turut memenangi piala.

"Kami menantikan cabaran itu. Ia tidak mudah tapi kami tidak gentar. Kami berada dalam kejohanan ini untuk menang dan kami akan berjuang untuknya,” katanya.

Selain TFC dan Central Coast Mariners, dua lagi kelab diundi dalam Kumpulan G iaitu Stallion Laguna FC dari Filipina dan Bali United. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram