Tiga kelemahan Sang Penyu ketika berdepan Selangor kena 'improve' sebelum buka tirai Piala AFC


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Sekitar sesi latihan Terengganu FC persediaan menjelang aksi Piala AFC berdepan Central Coast Mariners pada Rabu. — Facebook/Terengganufc

TERENGGANU FC (TFC) berjaya memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 pada Sabtu.

Kemenangan tersebut merupakan satu keputusan positif buat pasukan Sang Penyu sebagai persediaan menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan G Piala AFC 2023 pada Rabu.

Pastinya misi sukar sedang menanti Terengganu apabila mereka bakal berdepan dengan pasukan Central Coast Mariners yang juga bekas juara Liga Australia musim lepas.

Dalam pada itu, corak permainan yang ditampilkan ketika berdepan Gergasi Merah perlu dikekalkan oleh Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner agar mendapat keputusan positif dalam perlawanan Piala AFC nanti.

WhatsApp Image 2023-09-18 at 21.19.19

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain Sang Penyu dalam persediaan Piala AFC. — Facebook/Terengganufc

Meskipun tampil cemerlang, berikut Majoriti menyenaraikan tiga kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu dalam persediaan menghadapi kunjungan pasukan Central Coast Mariners:

1. Tajamkan jentera serangan

Sang Penyu perlu mempertajamkan jentera serangan agar mampu mencipta peluang meledak lebih banyak jaringan kerana bakal berdepan dengan pasukan kuat dalam Kumpulan G.

Melihat kepada aksi persembahan ketika berdepan Gergasi Merah, Sang Penyu dilihat perlu mengasah lagi bahagian serangan agar mudah merobek kubu pertahanan lawan.

Meskipun memiliki penyerang berbisa seperti Ivan Mamut, Sony Norde dan Nurillo Tukhtasinov tentunya bahagian serangan masih boleh ditambah baik untuk lebih berbisa berikutan lawan kali ini bukan calang-calang.

2. Kukuh benteng pertahanan

Pastinya dalam sesebuah pasukan, benteng terakhir merupakan bahagian yang penting untuk mempertahankan skuad daripada dibolosi oleh pihak lawan.

Melihat kepada situasi skuad Sang Penyu sebelum ini, tentunya pengendali pasukan itu perlu membariskan pemain pertahanan yang cukup kental untuk menjaga gawang daripada terus dibolosi.

Oleh itu, barisan pertahanan Sang Kenari perlu diperkukuhkan lagi untuk mematahkan serangan yang bakal dilakukan oleh Central Coast Mariners nanti.

Disebabkan itu, dalam perlawanan seterusnya, skuad Sang Penyu seharusnya menutup ruang buat pasukan lawan daripada menghasilkan lebih banyak hantaran yang boleh menembusi pertahanan sendiri.

3. Pemilihan penjaga gol

Sebelum ini, penjaga gol Sang Penyu, Rahadiazli Rahalim pernah diberi kepercayaan ketika berdepan Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, Negeri Sembilan FC dan Selangor FC dalam pusingan pertama Liga Super 2023.

Hanya tampil empat perlawanan, tujuh bolos dan dua clean sheet, penyokong berasakan khidmat Suhaimi Husin diperlukan ketika berdepan dengan pasukan bertaraf Asia dalam Kumpulan G.

Meskipun dibolosi 16 kali, namun pemain berketinggian 1.79 meter itu mempunyai kelebihan dari segi minit permainan.

Ia berikutan Suhaimi diberi kepercayaan untuk menjaga pintu gawang Sang Penyu sebanyak 17 kali perlawanan Liga Malaysia selain merekodkan tujuh clean sheet.

Tentunya, Suhaimi merupakan penjaga gol yang tepat diturunkan untuk aksi Piala AFC nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram