WAKIL Australia, Central Coast Mariners yang dijadualkan akan menentang Terengganu FC (TFC) bagi aksi Kumpulan G untuk saingan Piala AFC 2023 difahamkan sudah tiba di tanah air untuk perlawanan pembukaan pada Rabu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.
Di tengah-tengah persiapan untuk beradu kekuatan menentang naib juara Liga Super itu, ketua jurulatih kelab berkenaan, Abbas Saad sempat mendedahkan mengenai minatnya untuk melihat dua pemain kebangsaan beraksi di Liga Australia (A- League) pada suatu hari nanti.
Dua pemain Harimau Malaya yang dimaksudkan oleh bekas bekas pemain Johor pada era 1990-an itu ialah penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain lincah Selangor FC, Faisal Halim.
Memetik video temu bual dari portal Harimau Malaya, Abbas yang kini jurulatih interim Central Coast Mariners menggantikan Nick Montgomery itu tidak teragak-agak menyatakan hasratnya untuk membawa masuk dua pemain sayap negara itu ke dalam pasukannya.
Jurulatih sementara Central Coast Mariners, Abbas Saad. — Agensi
Jurulatih yang kini berusia 55 tahun itu berkata, kelajuan serta mempunyai mentaliti juara dalam diri Arif Aiman dan Faisal merupakan antara ciri-ciri pemain bola sepak yang dicari-cari oleh sebuah pasukan termasuklah juara Liga Australia musim lalu itu.
"Arif adalah pemain terbaik di Malaysia dan lepas dia Faisal Halim. Mereka dua pemain pemain paling pendek untuk Liga Malaysia tapi mereka dua paling hebat. Mereka dua laju, ada skill, ada passion dan mereka juga ada mentaliti juara. Saya suka apa yang ada dalam diri mereka. Itu semua elemen bola sepak yang perlu ada.
"Saya suka tengok mereka bermain. Bagi saya Faisal dan Arif Aiman adalah dua pemain terbaik untuk Malaysia sekarang. Orang sanggup bayar duit untuk tengok pemain seperti ini. Saya nak tengok mereka main untuk Liga Australia dan kelab kami memang berminat dengan salah seorang daripada mereka," katanya.
Ini bukan kali pertama dua pemain sensasi negara itu berhasil menarik minat kelab luar negara ekoran Faisal yang juga bekas tonggak Terengganu tersebut pernah menarik minat dua kelab gergasi Korea Selatan iaitu Incheon United dan Suwon Samsung Bluewings.
Manakala, Arif Aiman yang menyandang Pemain Paling Berharga (MVP) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dua kali pada 2021 dan 2022 itu pernah menjadi perhatian banyak kelab luar negara, termasuk beberapa pasukan teratas Liga Korea dan kelab Liga Jepun, Kashiwa Reysol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram