Selain Quentin, 2 lagi pemain Gergasi Merah patut direhatkan menjelang aksi suku akhir kedua berdepan TFC


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Pemain TFC, Engku Muhammad Nur Shakir (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC, Quetin pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pada Sabtu. — Bernama

KEKALAHAN Selangor FC ketika aksi perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu pada Sabtu lalu sudah semestinya satu tamparan buat pasukan tersebut.

Manakan tidak, tak padan dengan kredibiliti skuad Gergasi Merah yang berada di tangga kedua carta Liga Super, mereka bagaikan tenggelam punca apabila akhirnya tunduk di tangan skuad Sang Penyu dengan kekalahan 0-2.

Walaupun TFC mungkin memiliki sedikit kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, namun bagi sesetengah penyokong ia bukanlah alasan bagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mempamerkan aksi yang kurang memberangsangkan.

Malah, aksi longlai benteng pertahanan Gergasi Merah turut menjadi kritikan dalam kalangan penyokong Selangor itu sendiri.

Bukan itu sahaja, mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cheng Hoe juga menyifatkan kelalaian di benteng pertahanan menjadi faktor pasukan bolos dua gol tersebut.

Selain itu, beliau turut mengakui para pemainnya lambat untuk menyesuaikan diri dan gagal mengawal permainan dengan kadar segera.

Sehubungan itu, pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad depan, pasukan tersebut dilihat harus merombak semula pasukannya untuk memastikan mereka tidak dimalukan di gelanggang sendiri.

Melihat kepada prestasi semasa setakat ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang patut direhatkan, sekali gus digantikan pemain lain yang mungkin lebih cergas untuk menghidupkan semula Misi 34 buat Selangor:

1. Quentin Cheng digantikan dengan Aiman Hakimi

Aiman Hakimi dilihat semakin matang dalam corak permainanya setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama. — Facebook/SelangorFC

Aiman Hakimi dilihat semakin matang dalam corak permainanya setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama. — Facebook/SelangorFC

Umum mengetahui salah satu punca TFC berjaya mendapatkan gol ketika aksi perlawanan Piala Malaysia menentang Selangor pada Sabtu lalu adalah daripada kesilapan Quentin Cheng.

Pada perlawanan tersebut, pemain berumur 23 tahun ini melakukan kesilapan mengasari pihak lawan sekali gus sehinggakan pengadil menghadiahkan penalti pada skuad Sang Penyu.

Hal itu menyebabkan ramai penyokong yang berang dengan tindakkanya itu. Pada masa sama, pemain tersebut juga dikatakan tidak mempamerkan aksi prestasi terbaik dalam skuad Gergasi Merah.

Malah, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia, juga dilihat gagal mempamerkan kecemerlangannya setiap kali diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Sehubungan itu, bagi menggantikan pemain berketinggian 1.88 meter itu, ada yang berpendapat ubi muda Selangor FC II, Aiman Hakimi menggantikan tempatnya.

Hal ini kerana, dalam aksi persahabatan perlawanan Selangor FC di peringkat antarabangsa menentang kelab Liga 1 Indonesia, PSIS Semarang baru-baru ini, Aiman dilihat mempamerkan aksi yang cemerlang.

Selain itu, cara permainannya di bahagian pertahanan dilihat mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

2. Richmond Boakye digantikan dengan Rauf Salifu

rauf-salifu-selangor-fc-fbpix_2908217_20230121071448

Salifu yang berusia 21 tahun merupakan penyerang yang jarang diturunkan oleh Cheng Hoe pada ketika ini. — Facebook/SelangorFC

Pada ketika ini, penyokong Selangor juga berharap agar penyerang utama kelab tersebut, Richmond Boakye direhatkan kerana dikatakan kurang mempamerkan aksi yang cemerlang walaupun dia sudah meledakkan lima gol sepanjang dan tiga assist sepanjang tujuh perlawanan setakat ini.

Ada segelintir penyokong Selangor berpendapat Boakye tidak mampu untuk beraksi dalam perlawanan yang bertekanan tinggi seperti aksi suku akhir Piala Malaysia.

Mereka yang sudah muak dengan persembahan longlai Boakye mahu pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe tidak lagi menurunkan pemain tersebut sebaliknya memberikan peluang kepada seorang lagi penyerang import iaitu Rauf Salifu.

Salifu yang berusia 21 tahun merupakan penyerang yang jarang diturunkan oleh Cheng Hoe. Walaupun aksinya cuma terhad kepada lima penampilan di Liga Super, tetapi pemain berasal dari Ghana berjaya mendapatkan dua gol.

3. Shahrul Nazeem Zulpakar digantikan Safuwan Baharudin

447573834787847JPEG image 30

Safuwan Baharudin patut berada di skuad utama menggantikan Afro dalam kesebelasan utama. — Facebook/SelangorFC

Shahrul Nazeem Zulpakar ataupun lebih dikenali dengan nama Afro dalam kalangan peminat pada ketika ini juga dikatakan tidak mempamerkan aksi yang cemerlang.

Umum mengetahui, meskipun Selangor FC menukar tiga ketua jurulatih sejak 2021, Afro tetap menjadi pilihan kesemua pengendali Gergasi Merah untuk membarisi benteng pertahanan pasukan.

Namun begitu, pada ketika ini penyokong berasakan pemain muda itu tidak lagi memiliki kemampuan untuk mengawal ancaman pihak lawan.

Sehubungan itu, ada yang berasakan Safuwan Baharudin patut berada di skuad utama menggantikan Afro dalam kesebelasan utama.

Safuwan Baharudin mula menjadi bualan peminat selepas melihat aksinya menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Julai lalu.

Dalam perlawanan itu, Safuwan berjaya mengunci pergerakan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva yang buntu untuk menjaringkan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram