Tak mahu sekadar kutip pengalaman, Solari 'demand' JDT bangkit dalam aksi ACL seterusnya


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Harimau Selatan akhirnya tewas pada musim ini selepas kecundang kepada Kawasaki Frontale. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

WAKIL tunggal Malaysia di Liga Juara-Juara AFC (ACL), Johor Darul Takzim (JDT) tidak perlu menganggap kekalahan kepada Kawasaki Frontale sebagai pengalaman semata-mata.

Sebaliknya, para pemain perlu mengambil serius terhadap apa yang dilalui mereka dalam perlawanan tersebut dalam misi membaiki segala kelemahan.

Itulah yang diungkapkan oleh pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari selepas pasukannya kecundang 0-1 kepada kelab Jepun tersebut di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Jaringan tunggal oleh Marcinho sudah cukup untuk memberikan kekalahan pertama JDT musim ini dalam semua kejohanan.

380856478_880060193489958_4622421964144198062_n

Solari mahu pemainnya bangkit dalam perlawanan ACL seterusnya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Walaupun kecundang pada perlawanan pertama, Solari masih yakin pasukannya mampu memberikan saingan dalam kempen ACL kerana masih ada lima perlawanan untuk diharungi.

"Saya sentiasa yakin, kami baru saja bermain perlawanan pertama dan kami bermain baik. Masih lagi ada lima perlawanan untuk diharungi dan kami akan beraksi di tempat lawan dalam masa dua minggu, dan ia amat penting buat kami," kata Solari selepas perlawanan.

Sementara itu, penjaga gol JDT iaitu Syihan Hazmi dilihat tidak memperoleh penampilan pertama idamannya dalam saingan kelab tertinggi di Asia.

Walaupun pemain itu tidaklah beraksi seperti yang diharapkan, tetapi Syihan tetap terharu kerana diberikan kepercayaan mengemudi gawang Harimau Selatan menentang jaguh Asia.

380859608_880060883489889_3881959221568086933_n

Syihan tidak berjaya memastikan JDT tidak kalah di laman sendiri. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana beri saya peluang untuk bermain di pentas tertinggi Asia. Malam ini bukan rezeki buat JDT untuk catat keputusan baik," ujar Syihan.

JDT kini menduduki tangga ketiga selepas Ulsan Hyundai berjaya menewaskan BG Pathum United dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan I.

Aksi seterusnya buat JDT adalah bertemu BG Pathum United di Pathum Thani pada 3 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram