Selain Falcao, 4 pemain import ini pernah beraksi di Piala Dunia sebelum ke Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Falcao dijangka bakal menyertai JDT menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super. — Agensi

DESAS-DESUS kehadiran penyerang kebangsaan Colombia, Radamel Falcao ke kancah Liga Super dilihat semakin hampir.

Ia bakal menjadi realiti selepas media Sepanyol mengesahkan bintang La Liga itu menunjukkan minat terhadap tawaran dibuat oleh Johor Darul Takzim (JDT) untuk mendapatkan tandatangan bekas peledak Manchester United dan Chelsea itu.

Malahan, kemasukan Falcao dalam Liga Malaysia (Liga M) menambah senarai pemain import yang pernah menyertai Piala Dunia bermain di liga kita.

Andrew Nabbout dan Dimitri Petratos merupakan dua bekas pemain import yang pernah mewarnai Liga Malaysia.

Namun mereka menyertainya sebelum ke Piala Dunia.

Majoriti senaraikan empat pemain yang pernah ke Piala Dunia sebelum memilih untuk berhijrah ke Liga Malaysia.

Aimar ketika mewakili JDT pada 2013.

1. Pablo Aimar

Piala Dunia: Argentina (Piala Dunia 2002)

Pada zaman kemuncaknya, Pablo Aimar merupakan antara nama besar di pentas dunia.

Cukup dikenali sebagai pemain nombor 10 terbaik dalam sejarah Valencia dan Benfica, Aimar juga mempunyai reputasi tinggi di skuad Argentina.

Buktinya semasa kempen Piala Dunia 2002, dia dipilih Marcelo Bielsa sebagai perancang utama pasukan di depan seorang lagi perancang hebat, Juan Roman Riquleme.

Aimar tiba di JDT dengan status pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Dikhabarkan dia diberi gaji RM180,000 sebulan.

Tetapi disebalik gaji tinggi tersebut, Aimar hanya mampu beraksi dalam lapan perlawanan dan menjaringkan dua gol sebelum terpaksa dilepaskan setahun kemudian kerana masalah kecederaan.

Penaung JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pernah memberitahu pembelian pemain Piala Dunia 2002 itu dibuat dengan niat untuk menarik minat peminat bola sepak Malaysia menyedari kewujudan JDT dan seterusnya menyokong JDT.

Di Sabah, Diouf lebih banyak menghabiskan masa merawat kecederaan daripada menjaringkan gol. Agensi

2. El Hadji Diouf

Piala Dunia: Senegal (Piala Dunia 2002)

Sabah juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menambat El Hadji Diouf pada musim 2015.

Diouf mula dikenali pada Piala Dunia 2002 apabila membantu Senegal melakar kejutan dengan layak sehingga ke peringkat suku akhir pada penampilan sulung mereka di kejohanan berprestij tersebut.

Diouf bermain ke semua lima perlawanan Senegal di Piala Dunia 2002 sebagai penyerang utama. Walaupun beliau tidak menjaringkan sebarang gol, sumbangan beliau kepada taktikal Senegal membuatkan beliau meraih perhatian dunia sehingga dibeli oleh Liverpool selepas kejohanan tersebut.

Di Sabah, Diouf lebih banyak menghabiskan masa merawat kecederaan daripada menjaringkan gol.

Dia hanya beraksi dalam 10 perlawanan dan menjaringkan empat gol. Sabah pula sekadar berada di tangga ketujuh Liga Perdana.

Do-heon dilantik sebagai kapten dan diberi satu misi bantu Negeri Sembilan kekal di Liga Super. Facebook/PBNS

3. Kim Do-heon

Piala Dunia: Korea Selatan (Piala Dunia 2006)

Kim Do-Heon banyak menghabiskan kariernya dengan menyertai beberapa kelab di K-League.

Tetapi pernah sekali dia menyertai West Bromwich Albion selama semusim sebelum pulang semula ke tanah airnya.

Di peringkat antarabangsa, Do-Heon merupakan salah seorang anggota skuad Korea Selatan ke Piala Dunia 2006 yang pada ketika di bawah kendalian Dick Advocaat.

Malangnya, dia hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang Piala Dunia 2006 kerana hanyalah back-up kepada kapten skuad kebangsaan, Park Ji-Sung.

Pada musim 2018, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan ketibaan Kim Do-Heon untuk memperkuatkan skuad Hobin Jang Hobin.

Pemain Korea Selatan ini terus dilantik sebagai kapten dan diberi satu misi bantu Negeri Sembilan kekal di Liga Super.

Do-heon gagal apabila, Negeri Sembilan terperosok di dasar Liga Super, sekali gus tersingkir ke Liga Perdana untuk musim 2019.

Basko Balaban pastinya masih segar di ingatan penyokong Selangor sehingga ke hari ini. Agensi

4. Bosko Balaban

Piala Dunia: Croatia (Piala Dunia 2002 dan 2006)

Namanya tidaklah segah Diouf, namun nama Basko Balaban pastinya masih segar di ingatan penyokong Selangor sehingga ke hari ini.

Hadir di Shah Alam dengan reputasi sebagai pemain skuad antarabangsa Croatia untuk dua edisi Piala Dunia meskipun sekadar memanaskan bangku simpanan bagi kempen 2002 dan 2006, Balaban masih berupaya memukau penyokong Selangor dengan menjaringkan gol kemenangan pada debutnya ketika menentang Kelantan.

Sepanjang musim Balaban membuat 20 penampilan dalam Liga Super untuk Gergasi Merah dan menjaringkan 12 gol.

Dia juga berjaya membantu Selangor layak ke AFC Cup pada musim 2013, tetapi sayang, dia tidak dapat membantu Selangor di Piala AFC selepas kontraknya ditamatkan selepas hanya semusim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram