Richarlison, pemain OKU antara 3 finalis Puskas 2022


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Richarlison melakukan jaringan cantiknya itu ketika menentang Serbia pada 24 November dalam perlawanan pertama pasukan Brazil di Piala Dunia di Qatar. — Agensi

PERSEKUTUAN Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengesahkan tiga gol yang berjaya memasuki peringkat akhir pengundian untuk Anugerah Puskas.

Daripada senarai pendek 11 gol yang tercalon, peminat dan panel diberi peluang untuk mengundi untuk pilihan pertama, kedua dan ketiga mereka.

Dengan mata setiap gol yang diterima akan ditambah untuk menentukan tiga yang diumumkan menjadi finalis bagi kategori Anugerah berprestij tersebut

Tiga gol yang tercalon ialah daripada Dimitri Payet dari Marseille dan penyerang Brazil dari Tottenham, Richarlison, bersama pemain Orang Kurang Upaya (OKU) dari kelab Poland Warta Poznan iaitu Marcin Oleksy.

Marcin Oleksy yang mengalami kemalangan ketika bekerja di projek jalan raya kini bermain untuk pasukan bola sepak Warta Poznan dan menjaringkan gol tersebut ketika perlawanan menentang Stal Rzeszow pada 6 November tahun lalu.

Seorang lagi calon ialah Richarlison dari Brazil yang mana jaringan cantiknya itu dilakukan ketika menentang Serbia pada 24 November dalam perlawanan pertama pasukan Brazil di Piala Dunia Qatar.

Fakta yang menarik ialah jika Richarlison memenangi anugerah itu, ia akan menjadi tahun ketiga berturut-turut pemain Tottenham memenangi anugerah itu iaitu Erik Lamela (kini di Sevilla) mencapainya pada 2021 dan Son Heung-min dari Korea Selatan melakukannya pada tahun 2020.

Calon ketiga ialah pemain Perancis Dimitri Payet untuk gol yang dijaringkannya pada 7 April dalam kemenangan 2-1 pasukannya, Olympique de Marseille menentang PAOK Thessaloniki dari Greece untuk perlawanan pertama ke suku akhir Liga Persidangan.

Untuk rekod, pemain Malaysia iaitu Mohd Faiz Subri pernah menjadi pemain Asia pertama menerima Anugerah Puskas selepas jaringannya pada 16 Februari 2016 di Stadium Bandaraya, Georgetown memukau seluruh dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram