TERENGGANU FC (TFC) terpaksa akur tidak dapat menempah tiket ke pentas akhir Piala FA 2023 selepas tewas di tangan Kuala Lumpur (KL) City menerusi sepakan penalti 2-4 selepas kedudukan hingga masa tambahan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir kejohanan itu.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Ahad menyaksikan skuad Warga Kota berhasil menjaga benteng pertahanan mereka walaupun asakan demi asakan dilakukan oleh jentera serangan skuad Penyu.
Kegagalan dua pemain skuad Penyu iaitu pemain sayap, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan tonggak tengah, Liridon Krasniqi untuk menyempurnakan sepakan penalti menambah luka penyokong TFC.
Namun antara dua pemain tersebut, penyokong skuad Penyu lebih meluat dengan sepakan lemah Liridon ataupun pemain dengan mesra sapaan Mat Don sehingga mengharapkan agar dia dipulangkan semula ke Johor Darul Takzim (JDT).
Bukan sekali pemain pinjaman JDT itu mendapat kecaman daripada penyokong TFC berikutan sebelum ini gaya permainan tonggak berusia 31 tahun tersebut turut menerima pelbagai kritikan.
Petratos calon sesuai untuk menggantikan Mat Don. — Instagram/Petratos
Dengan kesalahan demi kesalahan dibuat pemain Kosovo-Malaysia itu, tidak hairanlah jika penyokong Terengganu sudah menemui calon pengganti ideal untuk mengambil posisi Liridon.
Nama pemain kelahiran Australia, Dimitri Petratos disebut-sebut sesuai untuk menggantikan Mat Don terutamanya dengan pengalamannya yang pernah beraksi di pentas Piala AFC.
Petratos bukan hanya berpengalaman di saingan Piala AFC, malah pemain berusia 30 tahun itu juga pernah beraksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Sydney FC, Brisbane Roar (Liga Divisyen Satu Australia) dan pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Pengalamannya bersama pasukan gergasi Asia itu pastinya memberi kelebihan kepada skuad Penyu yang layak ke saingan Piala AFC 2023 selepas muncul sebagai naib juara Liga Super 2022.
Petratos (tengah) ketika menyarung jersi Kelantan. — Instagram/Petratos
Sekiranya Petratos berhasil dibawa masuk TFC pada jendela kedua nanti, pemain itu juga diramal akan cepat menyesuaikan diri kerana pernah beraksi sebagai pemain Kelantan pada musim 2012-2013.
Sewaktu bersama skuad The Red Warriors (TRW), Petratos merekodkan 21 jaringan dalam 19 penampilan sebelum berhijrah ke kelab Australia, Brisbane Roar.
Detik manis bersama Kelantan apabila Petratos membawa TRW mara ke suku akhir Piala AFC 2013 dan menjaringkan empat gol dalam saingan kejohanan tersebut.
Petratos mulai menyertai Mohun Bagan pada Julai 2022. — Instagram/Petratos
Kejayaan tertinggi pemain tengah menyerang itu ialah dia juga pernah berada dalam senarai akhir 23 orang pemain yang akan mewakili Australia pada Piala Dunia 2018.
Perkembangan terbaharu mengenai Petratos, pemain berketinggian 1.76 meter itu kini bersama kelab Liga Super India, ATK Mohun Bagan dan dilihat masih konsisten menampilkan persembahan cemerlang dengan rekod sembilan gol, tujuh hantaran bantuan dalam 19 penampilannya.
Jika Petratos menandatangani kontrak bersama TFC, ia bermakna pihak pengurusan skuad Penyu perlu membayar pampasan kepada ATK Mohun Bagan berikutan dia masih memiliki kontrak selama setahun dengan skuad pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram