[VIDEO] Aksi siuu Azam Azmi beri 'hint', tunggu masa sertai bekas rakan sepasukan di Lembah Klang


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Sekitar aksi sesi latihan Terengganu FC persediaan menjelang Piala AFC. — Facebook/Terengganufc

TERENGGANU FC (TFC) berjaya memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 pada Sabtu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu, Terengganu selaku pasukan tuan rumah berjaya menewaskan Selangor menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ivan Mamut dan tandukan cantik daripada pemain gantian, Syahmi Zamri.

Pengadil perlawanan, Fitri Maskon memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah apabila pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng dipersalahkan melakukan kekerasan terhadap Nurillo Tukhtasinov di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, tonggak pertahanan Sang Penyu, Azam Azmi Murad mencuri tumpuan peminat tanah air selepas gayanya meraikan kemenangan TFC ke atas Gergasi Merah.

Perkara itu menjadi tumpuan kerana gaya 'siuu' berkenaan cukup sinonim dengan pemain Selangor FC, Faisal Halim sekali gus ada yang cuba membuat spekulasi ia satu tindakan memberi bayangan akan menyertai Selangor FC musim depan.

Seperti turut mengesahkan perkara itu, seorang penyokong di Twitter, @CafiqSahari mengatakan bahawa aksi itu hanyalah untuk meraikan penyokong Sang Penyu dan dikhabarkan Azam atau terkenal dengan jolokan Aney itu bakal berhijrah ke Lembah Klang musim depan.

"Saja nak raikan fans, tahun depan kan nak satu pasukan," katanya dalam hantaran di Twitter tersebut.

Sebelum ini, Azam pernah dikaitkan ke Selangor namun perkara itu sudah dinafikan ejen Azam yang menggunakan akaun Twitter, Joe Berbatov dengan mengatakan tiada tawaran diterima pihaknya.

Selain mengesahkan bahawa tiada sebarang tawaran tersebut setakat ini, ejen bola sepak itu pernah mendedahkan bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersetuju untuk kekal bersama Terengganu FC sehingga 2025.

Selepas ini, skuad Sang Penyu bakal menerima kunjungan pasukan dari Australia, Central Coast Mariners untuk aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC pada Rabu sebelum kembali berkunjung ke Stadium MBPJ untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram