Contohi Nik Sharif, 3 sebab Engku Nur Shakir perlu lupakan Selangor, kekal di bawah bimbingan Tomi


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Engku Nur Shakir menjadi pemain Terengganu FC pertama musim ini meraih gelaran POTM Liga Super musim ini. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC meraih bekalan selesa apabila membenam Selangor FC dengan keputusan 3-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Stadium Sultan Mizan menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya meraih dua jaringan hasil sepakan penalti Ivan Mamut dan tandukan cantik, Syahmi Zamri pada penghujung masa pertama dan babak kedua.

Skuad Sang Penyu memiliki kelebihan dua jaringan untuk dibawa sebagai bekalan selesa pada aksi timbal balik nanti.

Bagaimanapun, di sebalik perlawanan itu, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa penyerang Terengganu FC, Engku Nur Shakir kini berada dalam radar pasukan Selangor FC untuk musim depan.

Shakir

Engku sememangnya cukup cemerlang bersama skuad Sang Penyu sepanjang Ogos lalu. — Facebook/Terengganu FC

Hal ini kerana, pemain berusia 25 tahun itu berjaya merangkul Anugerah Pemain Terbaik Bulanan selepas mencetak tiga gol dan tiga assists dalam empat penampilan di Liga Super dan Piala Malaysia selepas memperolehi undian tertinggi daripada orang ramai.

Berikutan perkara itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab Engku Nur Shakir perlu kekal di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner.

1. Minit permainan terjamin

Memenangi trofi memang satu idaman bagi setiap pemain namun minit permainan juga perlu diutamakan kerana ia merupakan hal yang penting untuk seseorang itu kekal konsisten dalam setiap perlawanan.

Sekiranya penyerang muda itu berhijrah ke Selangor, sudah pasti dia perlu bersaing untuk mendapat tempat di kesebelasan utama jika dibandingkan di Terengganu yang sudah mempunyai kepercayaan daripada pengendali Sang Penyu.

Hal ini kerana, Gergasi Merah mempunyai ramai pemain berkualiti dan kesemua mereka mempunyai kelebihan untuk menjadi pemain utama di atas padang.

Ini terbukti apabila rakan sepasukan, Nik Sharif Haseefy mendapat lebih minit permainan di skuad Peteh ketika dipinjamkan Selangor FC berbanding ketika dia bersama pasukan berkenaan.

2. Kurang persaingan di posisi AMF

Tidak semua pemain yang berpindah kelab khususnya kelab-kelab besar akan dipandang lebih-lebih lagi jika banyak persaingan di posisi mereka beraksi.

Seperti Engku, boleh dikatakan dia akan lebih menyinar di Terengganu kerana Selangor memiliki ramai pemain di posisi attacking midfielder (AMF) yang berkualiti sekali gus memberikan persaingan lebih hebat jika dia berhijrah ke kelab itu.

Selain itu, kurangnya tekanan daripada penyokong merupakan perkara penting agar prestasi seseorang pemain sentiasa berkembang.

Semua sedia maklum bahawa The Red Giants antara kelab yang mempunyai penyokong sangat ramai di dalam arena bola sepak tanah air dan sentiasa menginginkan pasukan mereka menunjukkan prestasi cemerlang.

Sudah pasti tekanan sebagai pemain baharu kelak akan memberikan impak kepada prestasi awal pemain muda itu.

3. Gandingan rakan sepasukan

Keserasian yang dijalinkan oleh barisan pemain Sang Penyu ketika ini nampaknya memberikan impak positif kepada seluruh pasukan.

Gandingan rakan sepasukan amat penting dalam mencari keserasian untuk meraih kemenangan di atas padang.

Sekiranya pemain 24 tahun itu berhijrah ke pasukan Selangor, pastinya amat sukar kerana dia perlu mengadaptasi corak permainan dan perlu memahami gaya setiap pemain di kelab tersebut.

Dalam pada itu, amat sukar apabila pemain yang berasal dari kelab berbeza untuk mendapatkan keserasian dalam jangka masa yang pendek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram