SKUAD kebangsaan mencuri tumpuan penyokong di Malaysia selepas berhasil mendapatkan dua keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang Syria dan China.
Seri 2-2 bertemu Syria disusuli pula dengan keputusan 1-1 menentang China, rata-rata penyokong semakin yakin dengan skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang kempen Piala Asia 2024 di Qatar.
Bagaimanapun, timbul perkara yang kurang menyenangkan mengenai perbandingan pemain Harimau Malaya suatu ketika dahulu yang tidak mempunyai pemain naturalisasi dan warisan.
Jika dibandingkan dengan sekarang, skuad kebangsaan mempunyai pemain naturalisasi dan warisan yang dianggap menjadi penyumbang ke kelayakan Piala Asia 2024 di Qatar.
Sekitar aksi pemain Harimau Malaya yang berpuas hati selepas meraih keputusan seri berdepan China. — Facebook/FAM
Justeru, penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli memberikan pandangan mengenai isu perbandingan skuad Harimau Malaya yang dibarisi oleh pemain tempatan suatu ketika dulu dan kini membawa masuk naturalisasi serta warisan.
"Ini satu perbandingan yang tidak adil kerana bola sepak sekarang adalah bola sepak moden dan bukan seperti dulu.
"Janganlah membandingkan pemain-pemain dulu dengan yang sekarang," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, beliau juga memberi pendapat agar penyokong tanah air tidak membuat perbandingan tanpa menyelidiki sesuatu perkara.
"Sesiapa yang cuba membuat perbandingan ini perlu menunjukkan secara holistik iaitu dari segi kualiti pemain termasuklah individu-individu yang dihasilkan dalam keadaan sekarang.
"Bolehkah kita nak dapatkan pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Allahyarham Namat Abdullah era sekarang?.
"Adakah pemain-pemain dengan kualiti dulu itu sama dengan kualiti pemain yang ada sekarang?," jelasnya.
Tambahnya lagi, generasi sekarang tidak sepatutnya merendah-rendahkan antara pemain dulu dan sekarang dengan membuat perbandingan hanya melihat kepada kedudukan Piala Asia.
"Kalau berniat nak merendah-rendahkan antara pemain era dulu dan sekarang, perlu mempunyai asas yang kukuh dari segi kualiti pemain.
"Bukan semata-mata hanya melihat kepada kedudukan Piala Asia kerana kononnya Piala Asia dulu tidak mencabar atau dulu tiada pemain naturalisasi dan pemain warisan.
"Tidak perlulah kita membuat perbandingan yang tidak adil yang boleh menyinggung perasaan orang lain," jelasnya.
Malaysia bakal bertemu Jordan dalam aksi pertama kempen Piala Asia 2023 pada 16 Januari 2024 sebelum bertemu Bahrain pada 22 Januari dan bakal menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan pada 28 Januari 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram